Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Johor: PKR perlu lawan Muda, kata sayap wanita
Diterbitkan:  Feb 18, 2022 1:36 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

Seorang pemimpin sayap wanita PKR berpendapat bahawa parti itu perlu meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Dalam kenyataan media, Naib Ketua Wanita Faizah Ariffin berkata ini susulan kenyataan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memberi bayangan tentang kemungkinan berlaku pertindihan kerusi dengan PKR.

"Saya menyambut baik pandangan beliau dengan terbuka dan penuh semangat. Ini adalah proses demokrasi biasa untuk memilih wakil rakyat, maka ia terbuka untuk mana-mana parti politik untuk meletakkan calon terbaik di mana-mana kerusi yang difikirkan boleh menang.

"Jika itu hasrat mereka, maka saya berpandangan untuk PKR juga perlu meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh Muda terutamanya Puteri Wangsa.

"Muda bukanlah gabungan Pakatan Harapan dan saya kira tiada masalah untuk bertemu sesama sendiri di gelanggang sebenar," katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq berkata bahawa Muda telah mengadakan beberapa siri rundingan rasmi bersama pimpinan PKR, namun pengumuman calon oleh PKR telah menamatkan rundingan rasmi bersama Muda.

"Meskipun begitu, Muda telah menyampaikan niat dan hasrat Muda untuk mengelakkan sebarang pertindihan kerusi Muda-PKR kepada rakan DAP dan Amanah. Muda juga bersedia untuk meneruskan rundingan bersama PKR.

"Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan PKR berkaitan kerusi Muda-PKR, pimpinan Muda akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu ini.

"Sekiranya pertindihan kerusi antara Muda-PKR tidak dapat dielakkan, Muda akan serahkan keputusan di tangan rakyat Johor," kata Syed Saddiq.

Namun, Faizah memberitahu bahawa kenyataan Syed Saddiq seperti melepaskan dendam atas kegagalan rundingan tersebut kerana mendakwa pertembungan akan berlaku dengan calon PKR sahaja tetapi tidak dengan Warisan, Pejuang, BN atau PN.

"Pesanan saya, jika mahu bersahabat maka kita terbuka. Jika mahu berlawan, ayuh kita ke gelanggang," katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PKR Thiban Subramaniam dalam kenyataan berasingan berkata bahawa Muda tidak sepatutnya bertanding pada pilihan raya negeri Johor sekiranya tidak mampuberdepan BN dan PN di kubu kuat mereka.

"Pintu rundingan telah dibuka, tiga kerusi sudah ditawarkan oleh PKR kepada Muda. Namun, mereka enggan terima kerana ia bukan kerusi mudah menang. Muda tuntut kerusi PKR mudah menang walaupun sudah bekerja di lapangan sekian lama.

"Jika benar bersemangat untuk lawan BN dan PN, Muda tidak seharusnya berkira kerusi mana mudah menang.

"Di DUN Puteri Wangsa PKR telah tawarkan jentera untuk bantu Muda. Tapi, kenyataan Syed Saddiq tidak membawa semangat setiakawan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS