Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rombak sukatan pelajaran agar lebih mesra digital - PH
Diterbitkan:  Feb 18, 2022 10:38 AM
Dikemaskini: 2:38 AM

Pakatan Harapan (PH) mengulangi gesaan agar Kementerian Pendidikan (KPM) menangani isu membawa beg sekolah berat yang dihadapi pelajar sejak sekian lama.

Jawatankuasa Pendidikan PH dalam satu kenyataan berkata isu beg sekolah sekolah yang telah dibangkitkan hampir sebulan lalu masih belum dijawab oleh KPM.

"Meskipun banyak pihak termasuk pakar-pakar pendidikan dan kesihatan yang memberikan pandangan dan cadangan agar langkah segera diambil oleh KPM, malangnya KPM masih belum mengambil sebarang tindakan.

"JKPPH mengambil berat isu ini kerana ia boleh mendatangkan mudarat kepada murid-murid dalam jangka masa panjang seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh pakar-pakar kesihatan," kata jawatankuasa berkenaan dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa yang dianggotai lapan pemimpin PH termasuk bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik itu menggesa KPM mengambil beberapa langkah segera bagi menangani masalah itu.

Antara saranan yang dikemukakan adalah agar KPM bersedia merombak sukatan pelajaran di sekolah ke arah lebih mesra digital.

Selain itu mereka juga mencadangkan agar lebih banyak buku teks ditukar kepada bentuk digital atau e-book di semua peringkat sekolah, dan memudahkan akses kepada buku teks digital kepada pelajar termasuk di luar bandar.

"Berikan kuasa autonomi kepada sekolah dan PIBG untuk berbincang dan membuat keputusan kaedah pembelajaran yang sesuai mengikut keperluan masing-masing," katanya.

Isu pelajar terpaksa membawa beg sekolah berat masih belum diatasi walaupun telah diketengahkan dan dibincangkan selama bertahun-tahun.

Pada 2016, sepucuk surat yang dikatakan dihantar oleh sebuah klinik di Kuala Lumpur menjadi tular selepas mendakwa terdapat banyak kes pelajar sekolah menghidap tulang bengkok (scoliosis) akibat membawa beg sekolah yang berat.

Hal itu mendorong Kementerian Kesihatan mengeluarkan penafian dengan mengatakan bahawa membawa beg sekolah yang berat tidak menyumbang kepada kes skoliosis, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar harian berbahasa Melayu.

Pada 2018, Menteri Pendidikan ketika itu Mahdzir Khalid dan timbalannya P Kamalanathan mengupas masalah itu, termasuk cadangan mengeluarkan garis panduan baru kepada sekolah.

Bagaimanapun, Mahdzir juga menyatakan bahawa ia mengambil masa untuk menyelesaikan isu berkenaan dan menjangkakan ia akan berterusan sehingga sekolah memasuki pembelajaran digital sepenuhnya.

Selepas PH mengambil alih pentadbiran negara pada tahun yang sama, Maszlee selaku Menteri Pendidikan kemudiannya mengumumkan penubuhan pasukan petugas untuk meneliti cara bagi menyelesaikan masalah berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS