Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Undang-undang antilompat dibentang di DUN jika BN menang -Hasni
Diterbitkan:  Feb 18, 2022 9:23 AM
Dikemaskini: 1:23 AM

PRN JOHOR | Undang-undang antilompat parti akan menjadi agenda utama BN Johor sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya negeri (PRN) dan membentuk kerajaan, kata penyandang Menteri Besarnya, Hasni Mohammad.

Hasni, yang merupakan Pengerusi BN Johor dan Pengerusi Umno negeri berkata dia mahu memasukkan agenda itu dalam manifesto BN pada PRN berkenaan, yang akan bermula pada 26 Feb ini.

“Saya bercadang untuk memasukkan undang-undang antilompat dalam manifesto pilihan raya negeri sebagai menyokong undang-undang antilompat apabila kita menjadi kerajaan semula.

"Ini akan menjadi agenda utama yang akan dibentangkan di DUN," kata Hasni, seperti dilapor akhbar berbahasa Inggeris, The Star.

Dalam wawancara itu, Hasni, yang akan mempertahankan kerusi DUN Benut pada PRN berkenaan berkata dia menentang keras tindakan melompat parti.

Tambahnya, BN Johor tidak bercadang meletakkan mana-mana "katak politik" sebagai calon.

"Saya secara peribadi tidak akan menamakan katak sebagai calon dalam pilihan raya negeri ini," katanya.

Sementara itu Hasni berkata Umno dan BN tidak ada kena mengena dengan tindakan dua bekas Adun Bersatu yang mengumumkan keluar parti baru-baru ini.

Dia merujuk kepada tindakan Adun Johor, Mazlan Bujang (Puteri Wangsa) dan Mohd Izhar Ahmad (Larkin) yang baru-baru ini menyertai Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS