Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Indira luah rasa kecewa seorang lagi ibu dinafikan hak

M Indira Gandhi meluahkan rasa kecewa terhadap nasib menimpa Loh Siew Hong yang dipisahkan daripada tiga anaknya selepas mereka dilarikan dan ditukar agama kepada agama Islam tanpa persetujuan wanita itu.

Dalam kes yang serupa dengannya itu, Indira berkata dia telah mengikuti kisah berkenaan dan telah menghantar mesej kepada Loh supaya tidak berputus asa apabila ibu tunggal itu cuba mendapatkan semula anak-anaknya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis.

“Sangat menyedihkan apabila mengetahui hak seorang ibu telah dinafikan.

“Sangat sedih melihat kes ini walaupun ibu mendapat hak penjagaan (anak-anaknya), dia tidak dapat berjumpa dengan mereka.

“Menjadi seorang Muslim adalah perkara lain. Sebagai seorang ibu, dia mempunyai semua hak untuk berjumpa anak-anaknya tidak kira apa pun dan memandangkan anak-anak itu dijaga oleh pihak berkuasa - pihak berkuasa apa pun harus mengikut apa yang telah diputuskan oleh mahkamah," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Indira menegaskan bahawa ia merupakan senario yang berbeza jika anak-anak itu bersama bapa mereka - bagaimanapun, tiga anak Loh tidak bersama ibu bapa mereka.

Sebagai seorang ibu, Indira pernah menghadapi situasi yang sama seperti Loh.

Anak perempuannya, Prasana Diksa, masih bayi apabila bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah, yang sebelum itu bernama K Pathmanathan, melarikannya pada 2009 selepas memeluk Islam.

Riduan dan Indira berebut hak penjagaan di mahkamah selepas Riduan secara sepihak mengislamkan Prasana dan dua lagi anak mereka.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan penukaran agama kanak-kanak secara sepihak adalah menyalahi undang-undang memandangkan keputusan sedemikian memerlukan kebenaran daripada kedua-dua ibu dan bapa.

Kerajaan patut campur tangan

Indira menyatakan bahawa kerajaan harus campur tangan dalam kes Loh.

“Darah saya mendidih apabila saya melihat semua ini. Saya sangat tertekan dan ia seperti apa yang telah saya lalui dalam 10 tahun yang lalu.

"Ia sama sekali tidak adil," kata Indira yang mengatakan bercakap mengenai perkara itu sahaja boleh menyebabkan dia berlinang air mata.

Loh dibenarkan bertemu semula dengan anak-anaknya selama sejam di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kangar di Perlis pada Isnin (14 Feb) lalu, selepas suaminya Nagahswaran Muniandy membawa anak-anaknya dan mengislamkan mereka secara unilateral tiga tahun lalu.

Tiga kanak-kanak itu - iaitu kembar perempuan berumur 14 tahun dan seorang lelaki berumur 10 tahun - kini dalam jagaan JKM Perlis, sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus ditetapkan pada 21 Feb di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS