Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jika PM tidak mahu mesyuarat, bubar saja jawatankuasa khas Covid-19
Diterbitkan:  Feb 17, 2022 5:15 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

DAP mahu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob segera memanggil mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik Covid-19 susulan jumlah kes baru yang mencatatkan angka tertingginya, semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata sekiranya Ismail Sabri gagal memanggil mesyuarat, jawatankuasa berkenaan perlu dibubarkan kerana ia tidak bermesyuarat sejak 5 Nov tahun lalu.

“Sama ada Ismail mula mengambil serius dengan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Pandemik Covid-19 dengan memanggil mesyuarat atau jika tidak membubarkan jawatankuasa yang tidak berfungsi ini sebagai satu lagi wayang kosong,” kata Lim.

Lim mempersalahkan penularan Covid-19 adalah akibat kurangnya akauntabiliti oleh kerajaan, memetik kes Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dan presiden MIC S Vigneswaran yang didenda kerana melanggar protokol Covid-19 baru-baru ini.

Kekurangan tanggungjawab peribadi atau defisit akauntabiliti awam ini berlanjutan kepada perdana menteri yang tidak memanggil sebarang mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan wabak Covid-19 sejak mesyuarat terakhir pada 5 November tahun lalu.

“Jika gelombang baharu pandemik Covid-19 adalah bahaya yang nyata ketika ini, tidak ada sebab mengapa tidak ada mesyuarat untuk jawatankuasa tertinggi Covid-19 di peringkat kebangsan selama lebih daripada 100 hari,” katanya.

Lim adalah antara tokoh pembangkang yang dilantik menganggotai jawatankuasa itu, yang dibentuk pada 2 Sept tahun lalu.

Ketika itu, Ismail Sabri berkata jawatankuasa berkenaan adalah usaha kolektif yang akan melibatkan semua pihak berkepentingan untuk memastikan pemulihan negara dalam semangat "Keluarga Malaysia".

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 27,831 kes baru Covid-19 yang memecahkan rekod sebelum ini yang dicatatkan pada Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, walaupun jumlah kemasukan ke hospital bagi pesakit Covid-19 dilaporkan meningkat, namun ia kekal jauh lebih rendah berbanding Ogos tahun lalu apabila kurang orang yang diberi vaksin Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS