Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik di laman Facebook miliknya.

Kali ini mengenai hantarannya pada 2020 berhubung isu pengharaman jualan minuman keras di negara ini.

Minggu lalu, dia didakwa membuat ciapan di Twitter yang menghina seorang menteri berhubung isu peraturan kuarantin terhadap menteri berkenaan yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara tahun lalu.

Pada prosiding hari ini, Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Aktivis jalanan yang lantang itu didakwa melakukan kesalahan melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan profil 'Fahmi Reza' pada jam 11.45 pagi, 1 Jun tahun lalu.

Hantaran berkenaan menunjukkan gambar dua tin bir hijau yang dipegang oleh dua tangan, dengan teks "Carlsberg" pada satu tin dan satu lagi kelihatan seperti logo PAS.

Hantaran itu dipercayai berkaitan dengan isu sokongan beberapa menteri PAS pada 2020 terhadap sekatan penjualan alkohol di Kuala Lumpur.

Pada Jun tahun lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan bahawa tidak akan ada larangan sepenuhnya terhadap penjualan minuman keras semasa tempoh perintah kawalan pegerakan menyeluruh di Malaysia.

Fahmi didakwa mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum maksimum denda RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari jika kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Semasa prosiding pagi tadi, imbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 kepada Fahmi.

Bagaimanapun, peguamnya, Rajsurian Pillai dalam rayuan bagi meringankan jaminan berkata, anak guamnya tidak berisiko melarikan diri dan mengganggu mana-mana saksi, malah sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Dia meminta agar ikat jamin ditetapkan sekitar RM4,000 kerana anak guamnya sudah pun membayar ikat jamin RM5,000 untuk pertuduhan sebelum ini pada 10 Februari lalu.

“Faktor paling penting di sini ialah dia (Fahmi) bukan berisiko larikan diri dan tidak akan mengganggu saksi atau bukti pendakwaan.

"Peranti elektronik (komputer) miliknya (Fahmi) telah pun dirampas oleh polis dan dihantar ke SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia)," kata Rajsurian.

Selepas mendengar hujahan peguam itu, hakim memerintahkan Fahmi dikenakan jaminan RM3,000 dan menetapkan sebutan kes pada 30 Mac ini.

Aktivis yang lantang dalam isu sosio-politik itu sering-kali menimbulkan rasa tidak senang ke atas pihak berkuasa sebelum ini.

Antaranya adalah karikatur badut perdana menteri ketika itu Najib Razak pada 2016.

Malah, pada 26 Januari tahun ini, Bernama melaporkan bahawa Fahmi telah diarahkan ke Bukit Aman untuk membantu siasatan berhubung hantarannya di media sosial kerana didakwa menggambarkan imej Jata Pahang yang disunting dengan perkataan "House of Balak".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS