Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita temui 3 anak didakwa peluk Islam secara unilateral
Diterbitkan:  Feb 15, 2022 10:06 AM
Dikemaskini: 2:06 AM

Seorang ibu tunggal, Loh Siew Hong, dilaporkan bertemu semula dengan tiga anaknya semalam, selepas mendapatkan bantuan polis untuk membawa pulang mereka pada Sabtu.

Menurut laporan Malay Mail, pertemuan semula antara cef dari Cameron Highlands dan tiga anaknya itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di Perlis.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu akan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis sehingga 21 Feb ini sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Saya tidak berjumpa mereka selama tiga tahun dan mereka enggan mengikut saya pada mulanya, mereka bimbang bapa mereka mungkin mencederakan dirinya sendiri di dalam penjara jika mereka mengikut saya pulang,” kata wanita berusia 34 tahun itu.

Loh dilaporkan mahu membawa anak-anaknya pulang sebaik saja bertemu di balai polis, namun memutuskan untuk meninggalkan mereka di bawah jagaan JKM buat masa ini.

"Saya tidak mahu membuat mereka trauma lagi tetapi apabila saya bercakap dengan seorang lagi, mereka sudah menangis dan mengatakan mereka sanggup pulang bersama saya," katanya.

Menurut laporan polis yang dibuat pada Sabtu, Loh berkata dia telah berpisah dengan suaminya sejak Mac 2019 dan kemudian terasing daripada anak-anaknya - sepasang kembar berusia 14 tahun dan seorang berusia 10 tahun.

Selepas penceraian pasangan itu, Loh berkata Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Mac tahun lalu memberikan hak penjagaan terhadap tiga anak itu dan dia menghabiskan sembilan bulan dalam pencarian sebelum meminta bantuan daripada Bukit Aman.

Dia kemudian mendapat tahu anak-anaknya bersama NGO untuk mendalami Islam.

Pada mulanya pihak berkenaan tidak membenarkan Loh berjumpa dengan kanak-kanak terbabit, sehinggalah Loh membuat laporan polis pada Sabtu dan mereka dibenarkan bertemu.

Menurut laporan Malay Mail, Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dan Presiden Tamilar Kural Malaysia David Marshel - yang membantu Loh membuat laporan polis - turut hadir di IPD Kangar.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS