Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad: Ya, Umno memang 'takut'
Diterbitkan:  Feb 15, 2022 9:22 AM
Dikemaskini: 1:22 AM

PRN JOHOR | Selepas diberi bayangan akan berdepan dengan laluan sukar daripada pemimpin Bersatu, Mohd Puad Zarkashi memberikan reaksi dengan membuat pengakuan hari ini.

Menyatakan hal itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkenaan berkata sebenarnya mereka tidak takut kepada Bersatu.

Hal itu kerana, kata Mohd Puad, Umno tahu benar apa yang sedang berlaku pada Bersatu di Johor. Misalnya bekas ahli parlimen Batu Pahat mendakwa Umno tahu berapa jumlah cawangan Bersatu serta ahli parti terbabit yang "boleh dibilang dengan jari" saja.

Pun begitu kata Mohd Puad, ada sesuatu yang ditakuti Umno.

"Umno hanya takut pada individu macam Hamzah. Suka jadi 'katak' (dan) pengaruhi orang lain jadi 'katak' serta pakar tikam belakang macam di Sabah.

"Tidak mustahil Muhyiddin mangsa seterusnya," dakwa Mohd Puad.

Pada 11 Feb lalu Perikatan Nasional (PN) menyatakan keyakinan kuat mereka untuk menang besar dalam PRN Johor, sama seperti apa yang dicapai dalam PRN Sabah dua tahun lalu.

Hamzah yang juga Pengarah PRN PN Johor berkata berdasarkan pemerhatiannya parti terbabit mendapat "sambutan luar biasa" daripada orang ramai, sekali gus memberikan bayangan bahawa Umno patut takut dengan sambutan yang diterima itu.

"Rakyat akan bersama-sama kita untuk membuktikan bahawa kita adalah yang lebih baik bagi mencapai kemenangan yang besar pada PRN Johor ini sekali gus mengulangi kejayaan PRN Sabah.

"Bukan hanya di Johor, bahkan PN akan bangkit untuk tentukan masa depan rakyat di negeri ini.

"Saya lihat sambutan hari ini cukup luar biasa, jika Umno tak takut saya tak tahulah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS