Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Nak tukar Melayu jadi Cina tak boleh, nak tukar Cina jadi Melayu tak boleh'

“Kita jadi Melayu bukan kita pilih
Dia jadi Cina bukan dia nak
Dia jadi India bukan dia minta
Nak tukar Melayu jadi Cina tak boleh, Nak tukar Cina jadi Melayu tak boleh
Allah jadikan berbagai kaum bukan untuk bergaduh tapi untuk berbaik”

Itu antara kata-kata hikmah yang dinukil pada beberapa keping kertas yang ditampal di dinding sebuah kedai barangan logam, dimiliki seorang lelaki Cina lewat usia di Lanchang, Pahang.

Kata-katanya cukup ringkas, dan hanya ditulis dengan pen marker berwarna merah pada kertas-kertas putih, tetapi begitu membekas dan mudah dihadam oleh sesiapa yang terlihat, meskipun pada bacaan kali pertama.

Mungkin kerana itu, gambar tampalan kertas-kertas di dinding kedai berkenaan yang sempat dirakam seorang sukarelawan banjir, menjadi tular di Twitter, petanda nasihat yang disampaikan pakcik berkenaan turut bergema pada hati ribuan warga maya.

Setakat berita ini ditulis, ciapan akaun Twitter @The_UglyOrgan itu sudah hampir 8,000 sukaan, dan diulang ciap hampir 5,000 kali.

Pemilik akaun Twitter itu turut berkongsi video pendek, yang memaparkan kata-kata hikmah berkenaan, sebelum menyorot pemilik kedai - yang berpelitup muka, bertopi dan berkemeja putih bercorak biru - sedang bercakap sambil menekan kalkulator.

Di hujung video, pemilik akaun Twitter hanya mahu dikenali sebagai Aaron, 40, menaikkan ibu jari ke arah pakcik berkenaan, isyarat “bagus!”.

Terdapat juga kata-kata lain yang ditampal, antaranya “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Menurut Aaron, dia memang selalu ke kedai pakcik berkenaan sejak Disember lalu, memandangkan dia - yang merupakan salah seorang sukarelawan banjir - kini terlibat dalam kerja membaik pulih sebuah madrasah di Lanchang bersama beberapa pasukan yang lain.

Katanya, ekoran banjir teruk yang melanda Pahang tidak lama dahulu, banyak tempat yang memerlukan bantuan seperti baik pulih rumah, jambatan dan sebagainya, dan pasukan sukarelawan sepertinya sehabis daya cuba membantu.

Ahad lalu, cerita Aaron, dia cuba mencari cat alas (undercoat) kayu, dan secara kebetulan, hanya kedai pakcik itu sahaja yang dibuka, iaitu di lokasi sederet dengan Agrobank Lanchang dan berhadapan dengan SMK Datuk Bahaman.

“Uncle tu sangat peramah, berdasarkan ciapan orang yang pernah pergi ke situ pun kata dia peramah,” kata Aaron ketika dihubungi Malaysiakini.

Bercerita lanjut, katanya yang merupakan seorang Melayu-Islam, dia berkongsi ciapan itu kerana bersetuju dengan kata-kata yang terpapar.

Hurainya, meskipun dia dan rakan sukarelawan kebanyakannya berbangsa Melayu dan Islam, daripada pengalaman membantu dalam misi banjir, dia sedar bahawa nilai kemanusiaan adalah buta perkauman.

Ramai sumbang untuk madrasah

Selain daripada duit poket sendiri dan keluarga serta teman rapat, duit sumbangan turut datang daripada orang awam daripada pelbagai kaum.

“Bantuan dibagi tak kira pada kaum apa, asalkan susah kita bantu. Kami bukan NGO, bukan parti politik, jadi kami bantu ikhlas.

“Antara yang paling ramai sumbangkan atau menderma untuk mangsa banjir termasuk baik pulih semula madrasah ini, ialah kaum bukan Melayu dan bukan Islam.

“Kawan-kawan Cina, India, belikan beras, keperluan asas, keperluan bayi, sumbangkan wang ringgit, bukannya sedikit. Dana untuk pembinaan saja makan puluh ribu.

“Walaupun selepas kita bagitahu kita nak kumpul (sumbangan) untuk madrasah, mereka tak kisah. ‘Madrasah pun orang susah mangsa banjir juga kan?’ - kata mereka.

“Yang main api perkauman ni ialah golongan yang ada kepentingan sendiri. Kami rakyat biasa elok saja bersatu-padu,” cerita Aaron lagi.

‘Politik sebabkan kita bercerai roboh’

Beberapa warga Twitter turut berkongsi pengalaman berkunjung ke kedai pakcik berkenaan - rata-ratanya mengesahkan sikap peramah dimilikinya.

Ada juga yang mengulang ciap sambil menzahirkan penghargaan atas kata-katanya.

“Okey, sekarang ini dah jadi kata-kata kegemaran aku, petikan kata yang betul-betul mengagumkan, tabik pada pakcik,” ciap seorang warga Twitter.

“Politik penyebab kita bercerai roboh,” tulis seorang lagi.

“Sumpah, pakcik Cina di kedai hardware selalunya memang jenis penyayang,” tulis seorang lagi.

Ada juga yang mengenang tokoh ulung PAS, allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan membawa mesej serupa.

“Sama ayat TGNA,” ciap seorang warga Twitter dengan mengepil rakaman video ucapan Nik Aziz.

Selain kata-kata berbahasa Melayu, pakcik itu turut berkongsi kata-kata bertulisan Cina.

“Sebagai manusia, kalau kamu bersikap terlalu kejam, tiada ruang untuk berpatah balik. Sebagai manusia, kalau kamu bersikap terlalu busuk hati, kamu tidak akan mengecap kebahagiaan di kemudian hari.”

Satu lagi kata-kata Cina yang ditampal, disertakan dengan terjemahan Inggeris, berbunyi:

“Budak tak berpayung, mesti tangkas berlari,” mengandungi erti tersendiri yang sarat dan dalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS