Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar umum Maszlee bertanding di DUN Layang-Layang

PRN JOHOR | Maszlee Malik merupakan satu-satunya calon yang diumumkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam satu majlis pengumuman calon PKR bagi wilayah tengah Johor

Pengumuman itu dibuat di Bilik Gerakan PKR Rengit.

Layang-Layang merupakan salah satu daripada dua kerusi di Simpang Renggam.

Maszlee juga merupakan ahli parlimen Simpang Renggam dan disebut-sebut sebagai calon menteri besar dari Pakatan Harapan.

Anwar berkata calon yang lain bagi wilayah tengah tidak akan diumumkan pada hari ini kerana memerlukan dua hingga tiga hari lagi untuk berbuat demikian.

"Bagi yang lain - timur dan tengah, biar ada suspen ramai akan bekerja lebih keras," katanya kepada penyokong parti.

Pencalonan Maszlee pada mulanya dijadualkan pagi ini, di mana Anwar turut mengumumkan lima calon untuk wilayah selatan Johor.

Bagaimanapun, pengumuman itu ditangguhkan berikutan keputusan untuk tidak mengumumkan calon lain bagi wilayah tengah Johor.

Semalam, PKR Johor mengeluarkan jemputan media mengatakan kesemua 20 calon akan diumumkan.

Bagaimanapun, berlaku perubahan pada saat-saat akhir.

Maszlee dan Anwar dalam acara di Simpang Renggam pada 5 Feb lalu.

Ketika ditemui pemberita, Maszlee mengambil maklum yang pencalonannya di sebalik amalan PKR untuk tidak meletakkan ahli parlimen bertanding di kerusi DUN.

Bagaimanapun dia berkata akan berusaha sebaik mungkin untuk memenangi kerusi itu, dengan bantuan jentera parti di bawah parlimen Simpang Renggam.

“Sama ada saya terlibat dengan DUN atau tidak, tekad kita memang untuk menangkan PH di Johor, terutama calon-calon PKR.

“PRN kali ini, kita akan lakukan pendekatan di luar kotak, tidak konvensional kerana keadaan yang berbeza dan demi memastikan apa yang kita impikan agar Johor kembali bangkit, maju, bermaruah,” katanya lagi.

Dia turut menyebut sekali lagi hasrat PKR untuk menjadikan Johor sebagai hab ekonomi di rantau Asean dengan kerjasama terutama dengan Indonesia, Singapura dan Brunei.

Tujuh calon PKR di Johor Utara

Dalam majlis berasingan yang diadakan di Batu Pahat malam ini, Anwar mengumumkan tujuh calon untuk wilayah Utara, termasuk Gambir - kerusi Bersatu yang kini akan ditandingi PKR. Kerusi itu sebelum ini disandang oleh pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

Setiausaha PKR Johor Naim Jusri yang sebelum ini bertanding dan kalah di Sungai Balang dinamakan sebagai calon baru di kerusi DUN Gambir.

Secara keseluruhan, seramai 13 calon PKR yang diumumkan setakat ini ialah:

Subramaniam Chami (Buloh Kasap)

Yoong Tau (Pemanis)

Na'im Jusri (Gambir)

Md Ysahrudin Kusni (Bukit Naning)

Abdullah Sahid (Sungai Balang)

Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah)

Azmi Masrani (Sri Medan)

Zamil Najwah Arbain (Larkin)

Chiong Sen Sern (Bukit Batu)

SS Gopalakrishnan (Tiram)

Mohd Fakharuddin Moslim (Pasir Raja)

Napsiah Khamis (Kempas)

Maszlee Malik (Layang-Layang)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS