Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Istilah premier: Tiada perubahan signifikan - Abdul Karim

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2022 yang bakal dibentang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak esok, tidak akan membawa perubahan yang signifikan biarpun perkataan “Premier” dicadangkan bagi menggantikan istilah Ketua Menteri.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sebaliknya RUU itu adalah hanya untuk memperhalusi keadaan, di mana ia turut mencadangkan penukaran istilah “menteri muda” kepada timbalan menteri.

“Nama jawatan ‘menteri muda’ boleh menyebabkan kekeliruan. Pernah ada ‘menteri muda’ yang pergi ke luar negara, mereka dilayan sebagai pembantu kepada menteri.

“Begitu juga, bagi CM (Ketua Menteri) saya rasa kita tidak mahu setanding dengan Pulau Pinang atau Melaka. Apabila kita membentuk Malaysia, penandatangan bagi negeri-negeri Melayu (di Semenanjung) …hanya ada seorang yang mewakili mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bangunan DUN di Kuching hari ini.

Sebelum ini, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dalam satu sidang media berkata RUU itu akan dibentangkan oleh Abdul Karim esok dengan bacaan kali kedua dan ketiga juga dilakukan pada hari sama.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai terjemahan bahasa Melayu yang sesuai untuk perkataan ‘Premier’, Abdul Karim berkata perkataan itu boleh dikekalkan.

“Pada pandangan saya, istilah 'Premier' sudah memadai untuk (digunakan dalam kedua-dua bahasa, sama ada) bahasa Melayu atau Inggeris. Jika Liga Perdana kita boleh guna istilah Liga Premier, jadi kenapa kita tidak boleh menggunakan ‘Premier’ (dalam kedua-dua bahasa)?” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS