Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairuddin nasihat PAS, Umno henti serang-menyerang
Diterbitkan:  Feb 13, 2022 8:45 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

Anggota Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali menasihati PAS dan Umno agar mengekalkan politik matang dan sejahtera sekiranya kedua-dua parti tidak lagi boleh bersama dalam satu wadah.

Katanya, ini bermaksud kedua-dua parti itu tidak perlu serang-menyerang antara satu sama lain kerana ruang kerjasama masih terbuka selepas piilhan raya.

"Tidak perlu bergaduh meskipun berbeza. Itu mesej budaya politik matang sejahtera.

"Maksudnya jika PAS dan Umno tidak boleh lagi bersama dalam wadah pilihan raya dan akan berlawan dalam pilihan raya kekalkan berlawan dengan matang dan sejahtera tanpa serang menyerang.

"Hal ini kerana banyak lagi ruang kerjasama diperlukan pasca pilihan raya. Itulah politik baru yang dihasratkan oleh generasi baru apatah lagi anak muda 18 tahun," katanya dalam hantaran di Facebook.

Kata Khairuddin, suasana yang berlaku semasa pilihan raya Melaka merupakan contoh terbaik yang boleh dijadukan panduan kepada kepada kedua-dua parti.

"Itu sahaja maksud politik matang. Itu sahaja seruan saya kepada PAS dan Umno. Rasanya tidak sukar untuk difahami," katanya.

Khairuddin baru-baru ini digugurkan daripada jawatan setiausaha Majlis Syura PAS selepas dipecat sebagai anggota jawatankuasa pusat PAS bulan lepas.

Dia dilihat sebagai pimpinan PAS yang cenderung terhadap kerjasama politik dengan Umno berbanding Bersatu yang berada dalam Perikatan Nasional (PN).

Tahun lalu, Umno memutuskan kerjasama dengan PN apabila menarik sokongan terhadap perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu.

PAS sebelum ini mahu terus menjalinkan kerjasama dengan Umno tetapi hubungannya dengan parti itu kini ibarat retak menunggu belah selepas pemimpin kedua-dua parti saling melancarkan serangan.

Bersatu adalah parti utama dalam PN yang merangkumi PAS, Gerakan, Star dan SAPP sebagai rakan kongsinya, manakala Umno pula adalah tunjang BN dengan MCA, MIC dan PBRS sebagai rakan kongsi.

Semasa PRN Melaka masing-masing mengambil haluan sendiri bagi menghadapi pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) yang diterajui PKR, DAP dan Amanah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS