Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff digesa meletakkan jawatan susulan perkongsiannya mengenai tips kepada pasangan suami isteri untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.
Pemimpin PAS itu juga turut dikritik beberapa ahli politik dan aktivis pembangkang ekoran tips berkenaan termasuk memberitahu wanita untuk mengambil pendekatan berlembut dengan suami mereka, manakala suami menggunakan sentuhan fizikal yang "lembut" kepada isteri sekiranya tidak mendengar nasihat.
“Apabila seorang wanita yang berkuasa, siapa yang sepatutnya melindungi wanita, nasihat sentuhan fizikal lembut untuk mendisiplinkan isteri, anda tahu ada sesuatu yang tidak kena.
“Siti Zailah kena letak jawatan. Dia tidak sesuai memegang jawatan itu. Noktah,” kata Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin dalam ciapannya di Twitter hari ini.
Bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu berkata demikian selepas ulang kicau ciapan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang mengkritik Siti Zailah.
Nurul Izzah semalam dalam ciapan di Twitter berkata nasihat Siti Zailah itu adalah "merugikan”.
“Pandemik ini menyaksikan peningkatan dalam kes penderaan rumah tangga dengan jumlah 9,015 kes dilaporkan - kebanyakannya (keganasan) terhadap wanita.
“Nasihat yang dikatakan oleh timbalan menteri ini adalah merugikan dan bertentangan dengan realiti dan keperluan semasa,” tulisnya di Twitter.
Nurul Izzah kemudiannya berkongsi artikel ulama Islam, Abdullah Hassan yang berpendapat bahawa al-Quran dan Islam tidak membenarkan suami memukul isteri - sama ada ringan atau tidak - atau mendera mereka.
Timbalan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Yu Ren Chung juga turut membuat ciapan yang sama dengan menggesa Siti Zailah meletakkan jawatan berikutan kenyataannya itu.
“Dengan segala hormatnya, timbalan menteri ini tidak sesuai untuk jawatan itu. Sila letak jawatan,” katanya.
Hannah Yeoh yang juga bekas timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum Siti Zailah dilantik ke jawatan itu turut menanda (tag) Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam catatannya di Twitter berhubung video Siti Zailah.
Yeoh juga secara sinis mempertikai pertimbangan Ismail Sabri dalam melantik Siti Zailah untuk portfolio pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.
“Beliau (Siti Zailah) ditugaskan menjaga wanita dari semua kaum. Tolong minta dia menunjukkan cara lelaki harus menggunakan ‘sentuhan fizikal yang lembut tetapi tegas’ untuk mendisiplinkan isteri mereka,” katanya.
Yeoh menambah bahawa video pendek mengenai topik sensitif seperti itu berbahaya, kerana maksud sentuhan fizikal yang 'lembut tetapi tegas' boleh menjadi sangat subjektif.
“Tanya doktor, aktivis, NGO yang mengendalikan kes keganasan rumah tangga setiap hari. Adakah sesuai untuk topik sebegitu dibincangkan melalui video berdurasi dua minit?” soal Ahli Parlimen Segambut itu.
Ahli Parlimen Petaling Maria Chin juga mengkritik Siti Zailah atas nasihat yang diberikan, dengan mengatakan bahawa timbalan menteri itu telah "membawa wanita kembali pada zaman gelap".
Ini bukan kali pertama Siti Zailah dikecam kerana memberikan tips sedemikian.
Pada April 2020 Siti Zailah pernah dikritik kerana memuat naik rakaman video di media sosial dan mengakui PKP boleh memberi tekanan kepada keluarga, yang akhirnya menyebabkan masalah keganasan rumah tangga.
Semalam Siti Zailah telah mengeluarkan beberapa tips kepada pasangan suami isteri untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.
Tips berkenaan termasuk memberitahu wanita untuk mengambil pendekatan berlembut dengan suami mereka, manakala suami menggunakan sentuhan fizikal yang "lembut" kepada isteri sekiranya tidak mendengar nasihat.
Dalam video pertama yang dimuat naik semalam, Siti Zailah berkata wanita yang berdepan kemarahan suami perlu menunggu sehingga suami mereka berada dalam keadaan tenang.
"Cara pertama tegur suami saat suami dalam keadaan tenang, sudah kenyang, selesai makan, selesai sembahyang, dalam keadaan rehat dan tenang.
"Apabila nak cakap minta izin, atau kita guna bahasa yang paling lunak supaya dia boleh terima teguran kita," katanya.