mk-logo
Berita
Suhakam khuatir penahanan remaja perempuan disyaki tikam bayi sendiri
Diterbitkan:  Feb 13, 2022 1:25 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam (CC) Prof Noor Aziah Mohd Awal mengkritik penahanan seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun di lokap polis dipercayai kerana menikam bayinya sendiri yang baru lahir sehingga mati.

Sambil mengakui betapa seriusnya jenayah yang didakwa itu, Noor Aziah berkata menahan seorang gadis berusia 15 tahun yang baru melahirkan anak jelas "bukan cara terbaik."

"Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) berpandangan bahawa pendekatan yang diambil dalam mengendalikan kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang hendaklah selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang mana Malaysia merupakan negara pihak CRC.

"Pesuruhjaya Kanak-kanak percaya bahawa kanak-kanak itu telah mengalami kondisi kesihatan mental yang teruk sehingga membawanya bertindak sedemikian rupa," kata Noor Aziah pada satu kenyataan hari ini.

"Amat penting untuk kanak-kanak itu terlebih dahulu diberi rawatan selepas melahirkan termasuk rawatan psikologi sebelum proses pendakwaan dijalankan. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu memastikan kanak-kanak itu diberi kedua-dua rawatan tersebut dengan sewajarnya.

"Kanak-kanak itu perlu diberi bantuan guaman, terutamanya hak kepada peguam dan juga Pegawai Kebajikan Masyarakat yang akan berperanan sebagai pegawai pelindung.

"Pihak JKM digesa untuk mengaturkan agar bantuan guaman dapat diberikan kepada kanak-kanak secara pro bono," katanya lagi.

Noor Aziah mengingatkan pihak berkuasa berdasarkan Seksyen 83A Akta 611, kanak-kanak yang ditahan tidak boleh digari, dan ibu bapa atau penjaga mesti dimaklumkan tentang keberadaan kanak-kanak itu.

"Di bawah Akta yang sama dan CRC, identiti kanak-kanak perlu dilindungi dan tidak boleh didedahkan.

"Hak kanak-kanak untuk berunding dengan peguam pilihannya harus dipenuhi.

"Selain itu, kanak-kanak dalam tahanan tidak boleh bergaul bersama tahanan dewasa yang telah didakwa dengan sesuatu kesalahan," katanya.

Dilaporkan remaja perempuan yang didakwa menikam bayi lelakinya yang baru dilahirkan di Kemaman, Terengganu pada 8 Feb lepas itu telah direman tujuh hari di lokap polis bagi memudahkan siasatan.

Pada masa sama, pihak berkuasa turut mencari teman lelaki remaja perempuan itu yang berusia 20 tahun yang dipercayai merogolnya.

Bayi yang baru lahir itu ditemui mati di rumah kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun itu di Felcra Sri Bandi di Chukai, Kemaman. Dia dipercayai ditikam dengan objek tajam.

Noor Aziah berkata, difahamkan gadis itu mangsa rogol, dan keluarganya tidak menyedari dia hamil, kerana dia sudah lama tidak pulang ke rumah.

"Kanak-kanak itu telah berhenti sekolah tidak lama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat tidak mempunyai akses kepada pembelajaran dalam talian," jelasnya.

Noor Aziah berkata dia khuatir dengan kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Siti Zailah Md Yusoff melalui sosial media - yang telah dipadam - bahawa "kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang masalah kesihatan mental."

"Suhakam percaya percaya penilaian psikologi yang menyeluruh terhadap kesihatan mental kanak-kanak itu perlu dilakukan sebelum kenyataan sedemikian dibuat.

"Dalam hal ini, Pesuruhjaya Kanak-kanak (CC) ingin menegaskan bahawa kanak-kanak perempuan tersebut adalah mangsa rogol, tidak kira sama ada secara sukarela dan ia adalah kes rogol statutori di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan.

"CC menekankan bahawa prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak, seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3 CRC, hendaklah diaplikasikan dalam semua kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak.

"Insiden ini sekali lagi menjelaskan bahawa pentingnya silibus pendidikan kesihatan seks, seksualiti dan reproduktif yang komprehensif diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama dan kolaborasi bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan KPWKM. Silibus ini hendaklah diajar kepada semua kanak-kanak di semua sekolah kerajaan atau swasta.

"Kerjasama dan koordinasi yang lebih efektif haruslah dipupuk dalam kalangan agensi Kerajaan yang berkaitan seperti KKM, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan KPWKM bagi mempergiatkan usaha untuk meningkatkan kesedaran kanak-kanak mengenai pendidikan tersebut melalui pelbagai medium, termasuk media sosial," katanya.

Dia juga menggesa kerajaan untuk melaksanakan program yang lebih efektif dalam memberikan sokongan emosi kepada semua remaja atau kanak-kanak perempuan yang hamil dalam persekitaran yang selamat.

"KPWKM perlu lebih menyebar luas perkhidmatan yang disediakan oleh JKM agar keluarga kepada remaja ataukanak-kanak perempuan yang hamil lebih bersedia dalam menangani situasi ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS