Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azam: Saya sedia hadir sidang PSC jika dibuat ikut undang-undang
Diterbitkan:  Feb 13, 2022 10:45 AM
Dikemaskini: 2:45 AM

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bersedia untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung dakwaan skandal pegangan sahamnya sekiranya sidang itu dipanggil mengikut undang-undang.

Menurut portal berita FMT, Azam memberitahu media bahawa dia tidak hadir di hadapan jawatankuasa itu bulan lepas kerana dia hanya menerima "jemputan" untuk berbuat demikian dan bukannya disapina.

"Surat yang saya terima adalah satu surat jemputan sahaja. Jadi, jangan kelirukan orang ramai bahawa saya disapina dan harus hadir untuk menjelaskan semua. Jika saya tidak hadir, seolah-olah saya tidak hormat dan menghina Parlimen.

"Mana boleh begitu? Kalau ini adalah sapina, sudah pasti saya akan hadir dan sebagai pegawai penguatkuasa, sudah pasti saya akan hormat kepada undang-undang yang diperuntukkan,” katanya.

Selain itu, Azam juga berkata mesyuarat PSC gagal mematuhi peraturan Parlimen iaitu aturan mesyuarat yang menghendaki perbincangan jawatankuasa pilihan mendapat “referral” dari Dewan Rakyat.

“PSC memerlukan satu kelulusan melalui sidang parlimen atau ‘referral’ seperti mana yang disyaratkan di bawah aturan itu. Sekiranya ada ‘referral’ Dewan Rakyat, sudah pasti saya akan hadir.

“Jadi, saya berpegang kepada undang-undang itu. Saya bukan tolak untuk hadir tetapi sekiranya ia mematuhi undang-undang, sudah pasti saya akan hadir,” katanya seperti dipetik FMT.

Dia juga mendakwa peguamnya menasihatinya supaya tidak menghadiri mesyuarat jawatankuasa itu kerana perkara itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan dia juga telah memfailkan saman fitnah terhadap pemberi maklumat Lalitha Kunaratnam yang menulis dua artikel yang mencetuskan skandal pegangan saham berkenaan.

Polis mengumumkan semalam bahawa laporan yang dibuat oleh SPRM terhadap pemberi maklumat Lalitha Kunaratnam difailkan di bawah NFA (Tiada Tindakan Lanjut).

Azam mendapat perhatian berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad turun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Dia juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan saham pada 2015 dan 2016 menimbulkan persoalan sama ada ia setimpal dengan pendapatannya sebagai penjawat awam.

Dalam sidang media khas pada 5 Jan lepas, Azam tidak mempertikaikan pemilikan saham tersebut sebaliknya mendakwa ia dibeli atas namanya oleh adik lelakinya.

Hampir seminggu kemudian, pada 18 Jan, Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan bahawa ia telah menyelesaikan siasatannya terhadap kes itu dan ia tidak dapat memastikan secara muktamad jika berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Industri Sekuriti (Depositori Pusat) Akta 1991 (SICDA).

Bagaimanapun, berikutan kritikan, SC menjelaskan bahawa ia mendapati bahawa Azam mempunyai "kawalan" ke atas akaun dagangannya sendiri dan ia tidak menemui bukti perdagangan proksi.

Azam, yang menafikan sebarang salah laku, telah menimbulkan kebimbangan bahawa mesyuarat itu akan melanggar aturan mesyuarat Dewan Rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS