Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejuang perlu bersama 'khemah besar' pembangkang - Faiz Fadzil
Diterbitkan:  Feb 12, 2022 8:51 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

PRN JOHOR | Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) perlu bersama 'khemah besar' pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil.

Dalam kenyataan media, pemimpin Amanah itu berkata kegagalan mewujudkan muafakat di kalangan parti pembangkang akan memenangkan Umno pada PRN berkenaan.

"Kekuatan yang ada pada PKR, Amanah dan Muda lebih kepada kerusi campuran di bandar atau semi urban yang mana kerjasama dengan sebuah parti Melayu bagi menguasai kawasan luar bandar dan undi teras Melayu amat penting.

"Oleh itu, parti Pejuang yang dilihat mampu menguasai undi teras Melayu terutama di kawasan luar bandar perlu bersama dalam khemah besar ini," katanya.

Menurut anak kepada bekas presiden PAS itu, gabungan khemah besar bersama Pejuang akan memberikan nilai tambah kepada pembangkang dengan melonjaknya undi Melayu terutama di kawasan luar bandar.

"Apatah lagi berhadapan PRN Johor, kawasan yang pengundinya lebih 50 peratus Melayu, masih belum boleh dianggap selesa untuk pembangkang.

"Perpecahan undi pembangkang tidak boleh ditoleransikan lagi," katanya.

Pada 24 Jan lalu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH berkata semua parti pembangkang termasuk Pejuang, Warisan dan Muda perlu bekerjasama di bawah satu khemah besar bagi menghadapi PRN Johor.

Bagaimanapun, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata parti itu tidak berhasrat menyertai khemah besar bersama pembangkang namun sebarang kerjasama dengan gabungan parti lain masih dalam pertimbangan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh mengundi bagi PRN Johor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS