Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tapak harimau di Cameron Highlands, Perhilitan pastikan tiada ancaman
Diterbitkan:  Feb 12, 2022 1:27 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mengesahkan aduan kelibat harimau di Cameron Highlands yang tular di media sosial sejak semalam, adalah berasas dengan penemuan tapak kaki haiwan tersebut.

Pengarahnya Rozidan Md Yasin berkata pihaknya menerima aduan berkaitan perkara itu pada Khamis (10 Feb) dan siasatan menemukan kesan tapak kaki kira-kira satu kilometer (km) dari perkampungan Orang Asli Kampung Ubi di situ.

"Pemantauan di lokasi kejadian serta kawasan sekitar sedang dijalankan oleh kakitangan Perhilitan Pahang dan Perak.

"Pemantauan akan diteruskan bagi memastikan harimau itu kembali ke habitatnya dan tiada ancaman kepada penduduk," katanya semasa dihubungi di Kuantan hari ini.

Rozidan mengulas mengenai rakaman video tular berdurasi 26 saat yang menunjukkan haiwan pemangsa itu berada di kawasan semak didakwa berlaku di Cameron Highlands.

Ia adalah video kedua berkaitan kelibat harimau belang selepas video pertama berdurasi 17 saat tular pada 5 Feb lepas yang dikatakan berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Bagaimanapun, pada 7 Feb lepas, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak menerusi kenyataan media berkata pemeriksaan oleh Unit Harimau, Perhilitan Perak mendapati lokasi sebenar harimau itu ialah di Ladang Agroto, Perak berhampiran dengan Hutan Simpan Bukit Tapah, Perak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS