Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar dakwa konglomerat antireformasi penghalang jadi PM
Diterbitkan:  Feb 12, 2022 12:01 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa terdapat golongan konglomerat yang mendanai parti politik di Malaysia demi menghalang reformasi antirasuah.

Anwar membuat dakwaan itu dalam wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan hari ini.

Dia tidak menyebut sebarang nama secara khusus tetapi berkata jika tidak kerana keengganannya untuk berkompromi dengan mereka, dia sudah pun menjadi perdana menteri.

“Jadi jangan meremehkan kemungkinan dalam politik, dalam pilihan raya ada yang ditaja hanya untuk melemahkan agenda reformis.

“Saya akui tidak mudah. Ya saya belum berhasil penuh. Tapi kalau saya kompromi, saya sudah berhasil. 

“Jangan lupa, kalau saya kompromi, saya sudah jadi perdana menteri,” katanya seperi dipetik.

Mengulas lanjut, presiden PKR itu berkata golongan konglomerat tersebut tidak suka dengan pendiriannya yang menentang rasuah dan penyelewengan.

“Saya tentu tidak popular, jadi tokoh-tokoh yang besar susah nak bantu PKR selagi Anwar jadi ketua.

“Terus terang saya boleh berkawan dengan semua, tetapi untuk kompromi soal ini (rasuah), akan menjahanamkan negara kita,” katanya lagi.

Selain itu, kata Anwar lagi, kritikannya berhubung skandal Kertas Pandora juga menyebabkan dia hilang sokongan tokoh korporat.

“Saya masih ingat di Parlimen tatkala berucap tentang Pandora Paper yang melibatkan mantan perdana menteri, mantan menteri kewangan dan semua nama-nama besar dari pelbagai parti.

“Speaker larang saya bicara tetapi saya nak bicara sebab ini menyentuh kepentingan negara,” katanya.

Laporan tersebut tidak menyatakan secara khusus bekas perdana menteri yang dirujuk Anwar.

“Berbilion ringgit dibawa keluar dan orang-orang ini sekarang mahu jadi jaguh. Yang hendak menyelamatkan orang-orang Melayu itulah juga yang bawa ratusan juta keluar negara.

“Dia ada penyokong sebab dia ada wang. Sebab dia ada golongan korporat yang akan membantu,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa hartawan Daim Zainuddin dan G Gnanalingam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa dan MP Selayang daripada PKR William Leong dinamakan dalam pendedahan tersebut.


Baca: Menteri, ahli politik dan hartawan Malaysia didedah jadi pemilik syarikat pesisir


Pendedahan itu berkenaan bagaimana perkhidmatan luar pesisir ditubuhkan dan menguruskan syarikat shell dan pemegang amanah di 

Memiliki entiti luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, tetapi dalam beberapa keadaan, amalan ini dikaitkan dengan pengelakan atau penghindaran cukai. Dalam kes lain, ini usaha untuk menjaga kerahsiaan atas pelbagai alasan.

Susulan pendedahan itu, Anwar berulang kali menyuarakan agar ia dibahaskan di Dewan Rakyat tetapi dihalang.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian memanggilnya untuk memberi keterangan berkenaan perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS