Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MOU pekerja domestik Indonesia perlu segera dimeterai - Mesyuarat Jemaah Menteri

Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan supaya memorandum persefahaman (MoU) berhubung Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) perlu segera dimeterai, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Beliau berkata MoU PDI itu akan dimeterai beliau dan rakan sejawatnya Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Ida Fauziyah.

Dalam satu kenyataan hari ini Saravanan berkata, perkara mengenai PDI telah dibincangkan dengan secara mendalam dalam beberapa siri mesyuarat Jemaah Menteri termasuklah pada 9 Feb lepas.

Katanya beliau dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mempunyai matlamat yang sama iaitu melindungi serta menjaga kebajikan dan kesejahteraan pekerja warga Indonesia di dalam negara terutama yang membabitkan isu seperti gaji, cuti dan kebajikan pekerja.

"Saya juga ingin menasihati pekerja asing termasuk PDI, pentingnya untuk mempunyai dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah agar hak-hak mereka sebagai pekerja adalah terjamin," katanya.

Pada 24 Jan lepas Malaysia dan Indonesia dilaporkan bersetuju untuk melaksanakan projek rintis pengambilan 10,000 pekerja PDI dari negara jiran itu bermula bulan ini selepas MoU ditandatangani.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS