Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Walau digugurkan, penyandang DUN Skudai tak akan keluar DAP
Diterbitkan:  Feb 11, 2022 6:35 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Penyandang DUN Skudai Tan Hong Pin hari ini menegaskan dia tidak berhasrat untuk keluar DAP walaupun tidak dicalonkan dalam PRN Johor.

“Saya telah menyatakan pandangan kepada kepimpinan parti dengan jelas. Saya ingin kata sekali lagi, tanpa mengira parti calonkan saya atau tidak, saya tak akan keluar,” katanya di Facebook hari ini.

Kenyataan itu susulan spekulasi Warisan sedang cuba menariknya untuk menyertai parti itu.

Tan berkata lagi, dia menghargai kepercayaan DAP terhadapnya dan parti itu telah mencadangkan agar dia bertanding di peringkat Parlimen dalam PRU akan datang.

Tan tidak menyatakan sama ada dia setuju atau tidak dengan cadangan itu. Dia merupakan salah seorang daripada beberapa penyandang kerusi DUN DAP yang dikatakan telah digugurkan untuk PRN kali ini.

Loke yakin dengan Tan

Setiausaha Penaja DAP Anthony Loke dalam wawancara bersama Sin Chew Daily berkata Warisan cuba mendekati Tan.

Loke mendakwa Warisan menawarkan untuk meletakkan Tan sebagai calon di DUN Skudai dan kemudiannya di Parlimen Iskandar Puteri yang telah dipegang Lim Kit Siang selama dua penggal.

Anthony Loke

“Itu yang Tan beritahu saya. Saya ada keyakinan penuh terhadapnya. Saya percaya dia tidak akan tinggalkan DAP untuk sertai Warisan,” katanya.

Loke berkata dia akan melakukan yang terbaik untuk meyakinkan Tan agar menerima cadangan untuk dicalonkan di peringkat Parlimen.

Dia berkata tawaran Warisan itu datang daripada naib presidennya Junz Wong, yang dahulunya adalah anggota DAP Sabah.

Dia menyifatkan Wong sebagai “pengkhianat” yang kini sibuk mendekati bekas ahli mahupun ahli DAP di Semenanjung Malaysia yang ada menyimpan rasa tidak puas hati dengan parti.

“DAP tiada masalah dengan Presiden Warisan Shafie Apdal. Kami menganggapnya dan Warisan sebagai kawan.

“Namun, hubungan kami agak tidak jelas kerana dia benarkan orangnya untuk bertindak tidak wajar,” katanya seperti dipetik.

Wong nafi dakwaan

Dalam respons segera, Wong menafikan ada mendekati Tan.

Dia sebaliknya berkata ada berjumpa Tan di Sandakan, yang merupakan kampung halaman isteri Tan.

Junz Wong

“Ada kala kami bertemu minum teh dan berbual. Saya tak pernah minta dia untuk lompat. Kali terakhir saya jumpa Tan adalah pada 7 Februari di Johor Bahru.

“Ia ketika mesyuarat di mana beberapa sekutu Tan mencadangkan agar dia tinggalkan DAP untuk sertai platform lain. Kemudian kami berbincang tentang pendekatan Warisan ke arah kepelbagaian budaya,” katanya lagi.

Menjawab kritikan Loke, Wong berkata dia meninggalkan DAP pada 2016 kerana terdapat masalah dalam parti itu dan ada keperluan untuk membantu Shafie menubuhkan Warisan.

“Saya tidak tinggalkan DAP untuk dapatkan sebarang manfaat. Sebaliknya saya pilih jalan yang lebih sukar. Kami tidak pernah berpakat dengan musuh.

“Sebaliknya PH dan DAP beri sokongan kepada kerajaan Umno, yang membuatkan ramai tergamam dan malu,” katanya lagi.

[Baca berita asal] 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS