Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jawatankuasa pandemik dah 3 bulan tak mesyuarat'
Diterbitkan:  Feb 11, 2022 4:05 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sudah tidak bermesyuarat sejak 5 Nov tahun lalu.

Katanya, ia merupakan satu lagi kelalaian tugas oleh pentadbiran Ismail, di tengah kenaikan kes harian Covid-19 ekoran gelombang varian Omicron.

"Bolehkah kerajaan dianggap serius dalam mengekang gelombang jangkitan Omicron yang meningkat kepada 19,090 pada 10 Februari, apabila Jawatankuasa Khas Pengurusan pandemik Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Ismail tidak bermesyuarat sejak 5 November 2021?

"Bilakah mesyuarat seterusnya?" soalnya.

Ahli Parlimen Bagan itu turut menyifatkan kegagalan itu sama seperti pendahulu Ismail, Muhyiddin Yassin dalam menangani Covid-19.

Jelas Lim, mesyuarat jawatankuasa khas itu sepatutnya diadakan setiap minggu.

Namun, katanya, sejak dilantik sebagai ahli jawatankuasa khas itu pada awal Oktober, hanya terdapat tiga mesyuarat pada 15 Oktober 2021, 22 Oktober 2021 dan 5 November 2021.

"Adakah Menteri-Menteri Kerajaan tidak buat kerja mereka sedangkan kepimpinan yang tegas diperlukan pada masa yang mendesak sekarang?" katanya.

Pada Sept tahun lalu, Ismail mengumumkan bahawa Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 akan dijenamakan semula sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik dan akan turut melibatkan pembangkang.

Jangan politikkan pandemik

Sementara itu, Lim menggesa kerajaan tidak mempolitikkan pandemik demi kepentingan sendiri, dengan menyorot pendirian kerajaan untuk tidak meneruskan pilihan raya negeri (PRN) Johor dan cadangan untuk membuka semula sempadan negara pada 1 Mac 2022, meskipun dengan perkembangan gelombang jangkitan baru Covid-19.

"Ini tidak berbeza dengan apa yang diamalkan di negara Barat oleh kerana angka kematian yang rendah yang ditimbulkan oleh Omicron.

"Jika begitu, maka tidak ada sebab untuk tidak membenarkan kempen penuh termasuk ceramah atau perhimpunan awam untuk pilihan raya negeri Johor," katanya.

Sebaliknya, kata Lim, sekiranya kerajaan memutuskan bahawa gelombang Omicron terbaru adalah bahaya yang nyata ketika ini, maka PRN Johor harus ditangguhkan dan SOP Covid-19 yang lebih ketat harus dikenakan.

"Kerajaan tidak boleh melakukan dua perkara berlainan, dengan membenarkan PRN Johor diteruskan dan mengenakan SOP yang lebih ketat serta melarang ceramah.

"Mengehadkan kempen dan melarang ceramah akan membolehkan parti pemerintah mendapat kelebihan yang tidak adil dengan memiliki akses media tunggal dan fizikal kepada pengundi.

"Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan mempolitikkan pandemik Covid-19 untuk kepentingan diri sendiri," katanya.

Tegas Lim, dasar yang berubah-ubah serta keputusan yang tidak tegas hanya akan menambah kekeliruan dan ketidakpastian yang akan menjejaskan keyakinan pelabur dan kredibiliti awam terhadap usaha kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS