Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersatu Maran nafi Srikandi bahagian terbubar

Bersatu Bahagian Maran menafikan sayap Srikandi parti itu lumpuh selepas seorang wanita mendakwa dirinya sebagai ketuanya bersama 31 yang lain mengumumkan keluar parti dan kemballi menyokong Umno, semalam.

Ketua Bersatu Maran, Jasri Jamaludin, melalui kenyataan media yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp kepada Malaysiakini hari ini memaklumkan, Siti Nora Mohamad Noor bukanlah Ketua Srikandi Bersatu.

Tambahnya 31 lagi yang bersama Siti Nora dalam majlis dihadiri Wan Rosdy Wan Ismail semalam dan mendakwa ahli Bersatu Maran, bukanlah ahli parti berkenaan.

"Sebaliknya, mereka adalah ahli sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Maran dan semakan dilakukan Bersatu Bahagian (Maran) mendapati hanya Siti Nora sahaja yang pernah berdaftar sebagai ahli Bersatu pada 10 April 2021.

"Tindakan Siti Nora membuat kenyataan kononnya dia adalah Ketua Srikandi juga tidak tepat dan mengelirukan kerana dia tidak pernah dipilih untuk jawatan berkenaan.

"Saya ingin tegaskan bahawa Ketua Srikandi Bersatu Maran ialah Nur Amirah Shafiqah Mohamad Latipi yang dipilih dalam persidangan dan pemilihan Bersatu Maran pada 28 Nov 2021," katanya.

Jasri turut menyatakan kekesalan terhadap tindakan Ketua Umno Maran yang juga ahli mesyuarat kerajaan Pahang, Shahaniza Shamsuddin, kerana didakwanya memberikan maklumat tidak tepat kepada Wan Rosdy mengenai status sebenar Siti Nora bersama 'rombongannya' sebelum menganjurkan majlis berkenaan.

"Saya sekali lagi ingin memaklumkan bahawa kepimpinan Bersatu peringkat Bahagian, Srikandi dan Armada Maran yang dipilih pada persidangan Nov tahun lalu masih kukuh dan bergerak sebagai satu pasukan," katanya.

Petang semalam, seramai 32 orang termasuk Siti Nora yang mendakwa dirinya sebagai Ketua Srikandi Bersatu Maran menyerahkan borang keahlian Umno kepada Wan Rosdy dalam satu majlis ringkas di Kuantan, Pahang.

Majlis itu turut dihadiri Shahaniza dan disiarkan secara langsung melalui laman sosial Umno Online.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS