Peguam Syahredzan Johan mempertikaikan pendakwaan yang dibuat ke atas pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza berhubung hantarannya di media sosial.
Syahredzan berkata tindakan Peguam Negara Idrus Harun mendakwa Fahmi adalah amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku.
"Ia juga memberi mesej bahawa peguam negara membungkam suara rakyat dan menyempitkan ruang demokrasi buat rakyat.
"Apatah lagi apabila grafik tersebut secara asasnya adalah kritikan secara satira, dan bukannya perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menimbulkan ketegangan kaum," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syahredzan, yang juga setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang, tindakan itu juga menimbulkan persoalan sama ada pendakwaan terhadap Fahmi hari ini ada kena mengena dengan pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang, memandangkan Adham Baba adalah Ketua Penerangan Umno negeri itu.
"Persepsi-persepsi seperti ini memberi gambaran negatif terhadap institusi negara, tidak wajar dibiarkan begitu sahaja dan harus dikendalikan dengan cermat oleh Pejabat Peguam Negara.
"Hak rakyat untuk mengkritik kerajaan harus dihormati," katanya.
Fahmi hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik menerusi aplikasi Twitter miliknya membabitkan isu kuarantin terhadap menteri pulang dari lawatan rasmi di luar negara, tahun lepas.
Fahmi, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sabariah Othman.
Fahmi didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Twitter menggunakan laman profil Twitter “Fahmi Reza” atau “@kuasasiswa” pada 3.02 petang, 10 Februari 2021.
Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Presint 1, Putrajaya pada 4 petang, 11 Februari tahun sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut, Syahredzan menggesa semua parti dalam kerajaan menyatakan pendirian mereka mengenai perkara tersebut sama ada bersetuju dengan pendakwaan terhadap individu yang pada asasnya hanya mengkritik tindakan kerajaan atau sebaliknya.