Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembalakan di Kelantan hanya libatkan 28 peratus hutan - Mohd Amar
Diterbitkan:  Feb 10, 2022 1:06 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

Kerajaan Kelantan memaklumkan aktiviti pembalakan di negeri itu hanya melibatkan 28 peratus daripada keseluruhan hutan.

Timbalan menteri besarnya, Mohd Amar Abdullah berkata, hasil pembalakan menjadi pendapatan ketiga negeri selepas hasil cukai tanah dan perkhidmatan.

"Kira-kira 72 peratus Hutan Simpan Kekal (HSK) yang tidak pernah diusik oleh sebarang aktiviti termasuk pembalakan dan penerokaan bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terjamin," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily, hari ini.

Laporan itu bagaimanapun tidak memperikankan kawasan pembalakan itu.

Tanam eucalyptus, kurangkan kebergantungan pada hutan

Sementara itu Mohd Amar dalam laporan itu berkata, dalam tempoh tiga tahun lagi pokok eucalyptus sebagai salah satu langkah mengurangkan kebergantungan sumber hasil kerajaan khususnya aktiviti pembalakan dapat dituai hasilnya.

Jelasnya, berbanding tempoh penuaian hutan biasa sehingga 25 tahun, penanaman pokok tersebut mampu ditebang dalam tempoh yang singkat iaitu tujuh tahun sahaja.

"Sekarang kita dalam usaha untuk mengatasi kebergantungan kepada hasil hutan, jadi kita laksana tanaman pokok Eucalyptus untuk jadikan projek perintis.

"Kita buat kerjasama dengan pelbagai pihak, setakat ini nampak pokok tersebut tumbuh dengan baik," katanya dipetik sebagai berkata.

Tambah naib presiden PAS itu, projek perintis tersebut ditanam di kawasan seluas 30 hektar di Hutan Simpan Sungai Betis di Gua Musang, melibatkan 21,000 anak pokok.

Satu hektar mampu memuatkan sehingga 700 pokok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS