Meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh mengundi bagi pilihan raya negeri Johor semalam pada 12 Mac ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan meminta kerajaan untuk menangguhkannya sekiranya jumlah jangkitan kes Covid-19 di negara terus dijadikan sebagai senjata politik.
Bagaimanapun, kata mereka, sekiranya kerajaan enggan berbuat demikian, ceramah terbuka seharusnya dibenarkan semasa kempen yang akan bermula pada 26 Februari ini.
“Majlis Presiden memandang serius gelombang Covid-19 dengan varian Omicron yang sudah bermula dengan jumlah kes mencecah 17,000 semalam.
“Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor.
“Sekiranya kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat, maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan,” kata PH dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Madius Tangau.
Mereka pada masa sama menegaskan agar perintah kawalan pergerakan penuh tidak boleh lagi dilaksanakan lagi kerana telah terbukti gagal sebelum ini.
Semalam, SPR mengumumkan tarikh PRN Johor pada 12 Mac ini, manakala hari penamaan calon pula pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac.
Dengan menggerakkan kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’ pada PRN Johor nanti, Majlis Presiden PH berkata imereka memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PH bagi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, menyentuh mengenai siri libat urus berhubung Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti bersama ahli-ahli Parlimen yang diadakan di Parlimen semalam, PH berkata mengikut Perkata 2.4 menyatakan bahawa RUU itu perlu dibentang dan diluluskan di parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac ini.
“Oleh itu, Majlis Presiden berpandangan bahawa RUU Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan seperti yang dipersefahami di dalam Memorandum Persefahaman tersebut,” kata PH.