Pereka grafik dan aktivis masyarakat, Fahmi Reza, hari ini memohon untuk dibicarakan atas dakwaan menggunakan akaun Twitternya secara tidak wajar dengan membuat ciapan yang didakwa menghina terhadap seorang menteri awal bulan ini.
Seniman jalanan itu membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen (Siber) Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut salinan kertas pertuduhan, aktivis itu didakwa memuat naik ciapan itu melalui akaun Twitter sekitar jam 3.02 petang pada 10 Feb.
Dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Peruduhan adalah mengikut seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum bawah seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000.00 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari jika kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Bagaimanapun, tidak jelas daripada kertas pertuduhan, menteri yang didakwa menjadi sasaran yang didakwa itu. Namun adalah dipercayai, ia berkaitan lukisannya mengenai isu peraturan kuarantin terhadap menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara, tahun lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000, namun peguam Raj Surian Pillai, yang mewakili Fahmi memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.
"OKS juga tidak akan mengganggu saksi-saksi pendakwaan," kata Raj Surian.
Hakim Sabariah Atan kemudian membenarkan jaminan pada RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, adalah dilaporkan bahawa aktivis itu akan didakwa hari ini berhubung ciapannya di media sosial.
Pada 26 Januari lalu Bernama melaporkan Fahmi dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kiriman media sosial yang didakwa memaparkan imej suntingan Jata Pahang dengan perkataan ‘House of Balak’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abdul Jalil Hassan berkata Fahmi dipanggil untuk memberi keterangan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Pendakwaan/Undang-undang.
Aktivis yang lantang dalam isu-isu sosio-politik itu, sebelum ini telah banyak menimbulkan rasa tidak senang dengan pihak berkuasa pada masa lalu, antaranya mengenai karikatur badut bekas perdana menteri Najib Razak.