Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hasni kekal sebagai MB jika BN menang
Diterbitkan:  Feb 10, 2022 9:39 AM
Dikemaskini: 2:16 AM

Hasni Mohammad akan kekal sebagai calon menteri besar BN pada pilihan raya negeri Johor akan datang, kata Presiden BN Ahmad Zahid Hamidi.

Akhbar The Star memetiknya sebagai berkata, nama Hasni akan diserahkan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sekiranya BN memenangi pilihan raya pada 12 Mac ini.

Beliau berkata demikian pada majlis BN di Ayer Hitam, Johor, malam tadi.

Zahid seterusnya menyeru ahli BN supaya tidak mengambil mudah pilihan raya itu.

“Pada PRU14, kita kalah kerana pasukan media sosial kita lemah.

"Kali ini, kami memerlukan semua orang memainkan peranan mereka, termasuk pasukan siber kami," kata Zahid yang dipetik akhbar berkenaan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, portal Umno Online pula memetik Zahid sebagai berkata rekod perkhidmatan BN yang paling lama memerintah negara sejak era Perikatan dicemburi oleh seteru-seteru politiknya.

Katnya, setelah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, dapat disaksikan wujud proses meminggirkan BN yang telah dilakukan oleh seterunya.

“Saya harapkan semua jentera sama ada jentera berkomunikasi bersemuka atau jentera di bawah media sosial dan konvensional kita pastikan seluruh tenaga digerakkan dalam satu nada, satu suara bagi menentukan negeri Johor ini harus terus ditadbir oleh BN,” katanya.

Tambahnya lagi, serangan kepada parti juga semakin bertubi-tubi dan harus dipertahankan oleh semua pihak terutama melalui kaedah baharu iaitu menggunakan media sosial.

“Serangan kepada kita akan bertubi-tubi… bukan hanya harus dipertahankan oleh media sosial, oleh BN Comms (Komunikasi BN), PUMAS (Penerangan Umno Malaysia) malah mendapat komitmen dari presiden MCA, MIC dan parti gabungan dalam BN kita bersatu tenaga bukan sahaja untuk membalas serangan-serangan ini malah kita mempertahankannya.

“Kebolehcapaian kepada maklumat-maklumat di dalam telefon pintar menjadi asas maklumat-maklumat disebarkan.

“Maka jentera BN jangan terus terjebak dengan kaedah kempen yang dibuat secara tradisional kerana kita tahu dari segi profil dan demografi berbeza dari masa lalu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS