Dikemas kini dengan laporan penuh.
DAP dan Amanah bersetuju memberi laluan kepada Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dalam pilihan raya negeri 12 Mac.
Pemimpin kanan ketiga-tiga parti itu dalam kenyataan bersama sebentar tadi mengumumkan senarai kerusi yang akan ditandingi Muda, seperti berikut:
(1) Tenang
(2) Bukit Kepong
(3) Parit Raja
(4) Machap
(5) Puteri Wangsa
(6) Bukit Permai
Keputusan itu adalah hasil rundingan antara Amanah, DAP dan Muda menjelang PRN Johor nanti.
Kesemua enam kerusi itu dahulunya ditandingi Bersatu dalam PRU14 ketika parti itu masih sebahagian daripada PH.
Sebagai komponen gabungan pembangkang, Bersatu memenangi empat daripada kerusi-kerusi berkenaan, iaitu Tenang, Bukit Kepong, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
Pengumuman itu ditandatangani secara bersama oleh setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, presiden Amanah Mohamad Sabu dan presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman.
Sebagai sebahagian daripada proses rundingan, PH membahagikan kerusi-kerusi yang dahulu ditandingi Bersatu antara parti-parti komponen, dengan PKR mendapat 20 kerusi, Amanah 20 dan DAP 16.
Parti-parti komponen juga masing-masing dikehendaki berunding sendiri dengan parti-parti bukan PH - termasuklah Muda.
Rundingan antara PKR dan Muda belum diumumkan hasilnya.
Dalam kenyataan itu, mereka berkata, rundingan memuktamadkan agar tiada pertindihan kerusi antara tiga parti itu di setiap kawasan, selain bekerjasama sebagai rakan strategik bagi memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan negeri baru, walaupun Muda tidak menyertai PH.
“Ini serasi dengan prinsip khemah besar untuk menyatupadukan semua parti politik dan menggembleng tenaga yang bersedia melawan kerajaan BN/PN,” kata mereka.
Malaysiakini difahamkan bahawa empat daripada enam kerusi yang diberikan kepada Muda pada awalnya diperuntukkan buat Amanah.
DAP pula memberi laluan di Bukit Permai dan Machap.
Dengan itu, DAP dan Amanah akan masing-masing bertanding 14 dan 16 kerusi manakala Muda akan bertanding di sekurang-kurangya enam kerusi.
Jumlah ini mungkin bertambah, bergantung kepada berapa kerusi yang sanggup diberikan PKR kepada parti itu.
Kini, perhatian tertumpu pada hasil rundingan Muda dengan PKR - yang menampakkan perbezaan pandangan dengan DAP dan Amanah.
Ini termasuklah keputusan PKR untuk menggunakan lambang sendiri di PRN Johor sementara DAP dan Amanah akan menggunakan lambang PH.