Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Satu dari tujuh kes kematian tahanan ada unsur jenayah 

Dikemas kini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan setakat ini terdapat tujuh kes kematian Orang Kena Tahan (OKT) dengan hanya satu kes melibatkan unsur jenayah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata daripada tujuh kes yang dilaporkan itu, empat daripadanya merupakan kematian dalam lokap.

Katanya dua lagi kes meninggal dunia di hospital manakala satu kes melibatkan kematian ketika OKT dalam perjalanan ke hospital.

“USJKT (Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan) JIPS yang ditubuhkan pada 1 Jan lepas, memberi jaminan bahawa setiap kes kematian dalam tahanan atau jagaan PDRM akan disiasat secara telus tanpa sebarang kompromi.

“USJKT akan memajukan enam kes yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut sama ada memerlukan inkues atau sebaliknya,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Azri berkata bagi mengatasi masalah ini, PDRM mencadangkan untuk mewujudkan klinik bersepadu di setiap lokap bagi memantau tahap kesihatan OKT namun ia masih lagi di peringkat cadangan kerana ia memerlukan kos yang besar.

“Prosedur operasi standard yang dibuat oleh PDRM setakat ini, sekiranya ada OKT yang mengalami masalah kesihatan kami akan rujuk kepada hospital berdekatan, “ katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai USJKT, beliau berkata pihaknya akan mempertingkatkan integriti PDRM dalam siasatan kes-kes kematian dalam tahanan.

Selain itu, Azri berkata JIPS akan mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota PDRM dan memastikan tindakan undang-undang diambil jika terdapat bukti kukuh salah laku dalam kes ini.

“USJKT ditubuhkan adalah untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap PDRM dalam pengurusan kes kematian dalam tahanan. Jika berlaku kematian dalam tahanan ia boleh menjadi kes yang sensitif maka inilah peranan USJKT,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan USJKT ditubuhkan pada 1 Jan lepas adalah untuk menyiasat kes kematian sewaktu berada di dalam tahanan dan penubuhan bertujuan memperbaiki imej dan integriti PDRM.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS