Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kula: PM perlu arah pihak berkaitan hadiri perbincangan MOU dengan Indonesia

Bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Dalam Negeri ke meja rundingan dengan Indonesia untuk memuktamadkan memorandum persefahaman (MOU) mengenai pengambilan dan penempatan pengambilan pekerja asing.

Pemeteraian MOU yang dirancang pada 7 dan 8 Feb di Bali ini ditangguhkan ke tarikh yang baru yang belum ditentukan.

Semalam, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono memberitahu Malaysiakini keyakinan terhadap pelaksanaan MOU baru adalah rendah, terutamanya kerana Jabatan Imigresen Malaysia - yang menjadi peranan utama dalam pelaksanaan dasar itu - tidak menghadiri rundingan yang dijalankan.

Hermono juga menjelaskan ciri-ciri utama dalam MOU, termasuk aplikasi Sistem Satu Saluran (OCS), dipersetujui pada dasarnya tetapi butiran dalam integrasi dua aplikasi pengurusan pekerja dalam talian – Siapkerja Indonesia dan Sistem Pengurusan Setempat Pekerja Asing (FWCMS) memerlukan penyertaan aktif Jabatan Imigresen.

Bercakap kepada Malaysiakini, Kulasegaran berkata Jabatan Imigresen boleh mengelak akauntabiliti terhadap pelaksanaan klausa yang dibincangkan.

“Salah satu fasal utama dalam perjanjian itu memerlukan pelaksanaan OCS, yang memerlukan pemberhentian Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (SMO) yang kini dikendalikan oleh Jabatan Imigresen,” katanya.

Mengulangi pertikaian awal Indonesia dengan SMO, Kulasegaran berkata ia boleh membawa kepada penyalahgunaan kerana seseorang warga Indonesia boleh datang ke Malaysia sebagai pelancong sebelum menukar pas mereka menjadi pembantu rumah.

“Dengan SMO tidak ada kawalan mengenai siapa yang layak untuk datang ke Malaysia sebagai pembantu rumah atau bilangan yang diperlukan.

“SMO juga menggalakkan pertumbuhan agensi pengambilan pekerja asing yang tidak berdaftar dengan kerajaan dan oleh itu sukar untuk dipertanggungjawabkan atas sebarang bentuk salah laku dan aktiviti penipuan.

“Semasa saya menjadi menteri, kerajaan memulakan usaha untuk membersihkan proses ini tetapi semuanya gagal apabila pentadbiran persekutuan oleh Pakatan Harapan tumbang pada Feb 2020,” katanya.

Tambah ahli parlimen Ipoh Barat itu lagi, dia juga pernah berdepan dengan rasa tidak senang Jabatan Imigresen untuk menyertai MOU dengan Indonesia.

Kulasegaran berkata MOU antara kerajaan dengan kerajaan itu sangat penting untuk memastikan keseluruhan proses pengambilan dan penempatan pembantu rumah dari luar negara dikawal dengan betul bagi meminimumkan penyalahgunaan mana-mana pihak.

Dia kemudian menasihati Kementerian Dalam Negeri supaya menyerahkan tanggungjawab mengurus pengambilan pekerja kepada Kementerian Sumber Manusia jika sukar untuk melaksanakan MOU itu.

Katanya laporan khas oleh Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing turut mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia menjadi pihak berkuasa tunggal bagi pengurusan pekerja asing.

Dia berkata jawatankuasa itu diketuai bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamudin Yunus dan terdiri daripada wakil Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri dan pakar industri buruh, telah mengeluarkan 40 syor yang turut mendapati antara 64 negara yang dikaji, majoriti kerajaan berfungsi dengan satu sistem bersepadu untuk pengawalseliaan pekerja domestik dan pekerja asing.

“Antara 64 negara, Malaysia adalah antara segelintir yang meletakkan tanggungjawab pengurusan sumber manusia di bawah dua kementerian,” tambah Kulasegaran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS