Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS komited perkasa muafakat dalam PN
Diterbitkan:  Feb 8, 2022 3:27 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

PRN JOHOR | PAS menganggap tindakan memperkukuh muafakat yang dibentuk secara bersama dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN Johor tidak lama lagi sebagai satu langkah ke hadapan buat mereka.

Timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PRN berkenaan - yang belum ditentukan tarikhnya - adalah medan untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara parti komponan PN.

"Keputusan PN bertanding menggunakan satu logo, satu pengarahan dan satu bilik gerakan akan memantapkan lagi usaha bagi mencapai kemenangan dalam PRN Johor kali ini.

"Usaha ini dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dalam muafakat politik antara PAS, Bersatu dan Gerakan berbanding PRN Melaka dan Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat ketika hubungan PAS dan Umno yang sebelum ini memeterai Muafakat Nasional semakin tegang. Sesetengah pihak malah menganggap persefahaman itu sebenarnya sudah berakhir namun belum diumumkan secara rasmi.

Sama seperti PRN Melaka dan Sarawak, PAS memilih PN berbanding Umno-BN untuk bertanding.

Hubungan kedua-dua parti semakin keruh selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menganggap Umno seperti itik yang patah kakinya namun mahu berenang sendirian selepas ia dipulihkan.

Ahli parlimen Marang itu juga menganggap tindakan tersebut sebagai tidak bermoral.

Beberapa hari kemudian Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula menyindir Abdul Hadi kerana kerap menggunakan haiwan sebagai kiasan. Justeru kata Ahmad Zahid, wajar untuk pemimpin PAS terbabit menukar kerjayanya daripada ahli politik menjadi zoologi.

Kata Tuan Ibrahim sebagai parti komponen PN, PAS akan terlibat melancarkan jentera pilihan raya bersama PN pada minggdu depan.

"PN akan meneruskan dan memperkasa muafakat sebagai satu pasukan dalam menghadapi PRN Johor dan seterusnya pilihan raya umum.

"Insya-Allah, melalui gerak kerja bersama, PAS berharap pengundi Johor akan melakukan perubahan besar melalui peti undi bagi memenangkan calon PN dalam PRN ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS