Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MPN syor pintu sempadan negara dibuka seawal 1 Mac
Diterbitkan:  Feb 8, 2022 1:10 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan supaya pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini kepada semua negara tanpa keperluan untuk pengunjung menjalani kuarantin wajib.

Pengerusi MPN, Muhyiddin Yassin mengumumkan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis itu awal hari ini.

Dia bagaimanapun berkata mereka yang memasuki Malaysia perlu menjalankan ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas dan ketika tiba di negara ini berpandukan syor daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

“MPN mengesyorkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya dalam masa terdekat bagi menyokong pemulihan negara.

“Pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa,” katanya.

Dia berkata syor itu adalah langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan, serta mampu menarik pelabur asing ke negara ini.

Muhyiddin berkata cadangan pembukaan semula sempadan negara itu sepatutnya tidak terhad kepada negara tertentu sahaja sebaliknya dibuka kepada semua negara.

“Dalam taklimat tadi, Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) memaklumkan varian Omicron sudah berada di seluruh dunia, jadi kita tidak boleh pilih-pilih negara,” katanya.

Dia berkata syor berkenaan juga boleh dilaksanakan memandangkan sistem pengurusan kesihatan awam negara mampu mengawal penularan varian Omicron berdasarkan pengalaman lepas selain mempunyai fasiliti kesihatan yang mencukupi.

Muhyiddin berkata MPN turut mengesyorkan kerajaan supaya melaksanakan pelarasan bagi semua jenis bantuan kewangan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang disediakan agensi pembiaya kerajaan dan sistem perbankan negara, supaya lebih sistematik.

“Ia bagi meningkatkan penggunaan sumber lebih optimum, bersasar dan berlandaskan keperluan supaya tidak berlaku pertindihan, malah lebih ramai pengusaha yang terjejas dapat menerima bantuan,” katanya.

Muhyiddin berkata MPN turut ambil maklum industri pembinaan negara pada masa ini menghadapi isu kenaikan harga bahan binaan, kekurangan pekerja asing dan turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta ambil maklum bahawa industri itu penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, katanya MPN menyokong cadangan Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) mengenai penyelesaian segera dan jangka masa panjang berkaitan industri pembinaan.

Ditanya mengenai SOP Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bekas perdana menteri itu berpandangan ia perlu dilonggarkan bagi memastikan sistem demokrasi lebih telus.

“Mereka yang terlibat dalam PRN mendapat peluang untuk berkempen tetapi dengan batas-batas tertentu,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu.

Semalam, Khairy dilaporkan berkata PRN Johor boleh diteruskan memandangkan varian Omicron tidak menunjukkan kesan teruk berbanding varian Delta.

Khairy juga berkata syor bagi SOP PRN Johor telah dimuktamadkan dan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum diumumkan tidak lama lagi.

Muhyiddin turut mengumumkan pelantikan Sulaiman Mahbob sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MPN berkuat kuasa 1 Feb lepas, yang akan bertanggungjawab mengetuai pasukan dalam penggubalan hala tuju serta strategi Pelan Pemulihan Negara 2.0.

Sebelum itu, MPN diberi taklimat daripada Khairy mengenai situasi dan perkembangan terkini Covid-19 terutamanya penularan varian Omicron.

MPN dimaklumkan bahawa walaupun terdapat peningkatan kes harian Covid-19, strategi pemberian dos penggalak dan langkah kawalan kerajaan telah berjaya menurunkan kemasukan kes Covid-19 kategori 3-5 di hospital.

Muhyiddin juga berkata, pada taklimat itu, mereka dimaklumkan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai peratusan tertinggi lengkap vaksin di dunia.

Adalah dilaporkan 98 peratus populasi dewasa dan lebih 78 peratus populasi negara telah lengkap menerima dos vaksin. Lebih 50 peratus populasi dewasa juga telah menerima dos penggalak mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS