Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persatuan pengilang bimbang gaji minimum naik 'terlalu tinggi'
Diterbitkan:  Feb 8, 2022 12:19 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyuarkan kebimbangan dengan pengumuman Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang gaji minimum mungkin dinaikkan menjadi RM1,500 sebulan sebelum akhir tahun ini.

“Dalam situasi pandemik sekarang yang menyaksikan keadaan perniagaan masih lemah untuk ramai (peniaga), perlu diketahui bahawa sebarang kenaikan kos perniagaan ke atas pengeluar mempunyai kesan kenaikan berganda kepada ekonomi dan menjejaskan pemulihan perniagaan dan ekonomi. 

“Penyelarasan gaji mestilah dibuat secara berperingkat dan mengambil kira kesan pelbagai pemegang taruh,” kata presiden FMM Soh Thian Lai.

Soh berkata, kenaikan yang dicadangkan dari RM1,200 kepada RM1,500 sebulan itu adalah kenaikan sebanyak 25 peratus. 

“Industri terus berdepan risiko daripada pandemik dan varian Omicron buat masa ini, yang terus memberi kesan kepada rantaian bekalan global dan rangkaian logistik, serta tekanan kos lain ekoran kenaikan harga komoditi, harga tenaga, kekurangan bekalan buruh dan lain-lain yang boleh teruk menjejaskan usaha pemulihan perniagaan.

“Oleh itu, cadangan menaikkan gaji minimum sebanyak 25 peratus kepada RM1,5000 akan mempunyai kesan yang tidak diinginkan ke atas ekonomi, terutama dalam keadaan sekarang memandangkan penyelarasan gaji akan turut menyebabkan kenaikan di tangga gaji yang lebih tinggi,” tambahnya.

Ketika membuat pengumuman tersebut, Saravanan berkata kadar baru itu belum dimuktamadkan memandangkan kementerian masih menunggu kelulusan kabinet.

Soh berkata pengeluar secara umumnya bimbang tentang kenaikan. yang disifatkan sebagai mengejut. kepada RM1,500, tetapi menerima kenaikan secara beransur-ansur di bawah semakan gaji minimum semasa kepada satu jumlah yang akan ditetapkan oleh Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (NWCC). 

“Dalam hal ini, adalah penting untuk mengadakan rundingan tiga pihak secara segera bagi mempertimbangkan pengumuman oleh menteri dan bagi memastikan platform tiga pihak itu diperluas bagi memastikan perwakilan lebih besar dan pandangan yang pelbagai daripada pemegang taruh penting daripada pelbagai sektor ekonomi, termasuklah FMM sebagai suara sektor pengeluaran. 

“Kami berpendirian kuat bahawa kenaikan kadar gaji yang lebih beransur-ansur masih dapat menangani kenaikan kos sara hidup yang kita semua hadapi pada masa ini, yang merupakan kesan daripada pandemik dan gangguan bekalan yang berlaku,” katanya lagi.

Katanya lagi, pihak majikan yakin bahawa sebarang kenaikan gaji minimum perlu selaras dengan kenaikan produktiviti memandangkan kenaikan mengejut dalam kos gaji boleh menyebabkan kesan buruk kepada kos keseluruhan dan kebolehsaingan perniagaan. 

“Kami ambil maklum bahawa negara-negara jiran seperti Indonesia, Kemboja dan Thailand turut merancang penyelarasan gaji minimum pada 2022 memandangkan inflasi harga merupakan fenomena global. 

“Bagaimanapun, adalah diketahui bahawa penyelarasan oleh negara-negara ini sangat beransur-ansur dengan turut mengambil kira kesan pandemik ke atas kebolehlangsungan perniagaan.” 

Menurut Soh, Indonesia mengenakan kenaikan purata 1.09 peratus sementara Thailand masih lagi dalam proses semakan. 

“Kemboja, yang hanya menjalankan gaji minimum untuk industri pakaian, tekstil dan kasut (footwear) telah memperkenalkan penyelarasan gaji minimum sekitar 1.04 peratus. 

“Harus diambil maklum bahawa negara-negara ini tidak mempunyai kadar gaji minimum seragam, sebaliknya kadar gaji minimum adalah berdasarkan lokasi daerah atau hanya dikenakan ke atas sektor-sektor tertentu, tidak seperti Malaysia,” tambahnya.

FMM mewakili lebih 11,300 syarikat ahli (3,500 secara langsung dan 7,800 secara tidak langsung) daripada rantaian bekalan pengeluaran. 

 

 

 



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS