Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MTUC: Cukupkah gaji RM1,500?
Diterbitkan:  Feb 8, 2022 12:08 PM
Dikemaskini: 4:08 AM

Majikan sewajarnya telah bersedia untuk berdepan sebarang kenaikan gaji minimum berikutan semakan yang dijadualkan dibuat sekurang-kurangnya sekali bagi setiap dua tahun, demikian menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Sehubungan itu, Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata isu bahawa ia adalah membebankan tidak sepatutnya timbul kerana majikan boleh menganggarkan dan mengandaikan kenaikan ini lebih awal dengan berpandukan formula yang disediakan Majlis Perundingan Gaji Negara.

“Majikan telah tahu bila semakan gaji minimum akan dijalankan.

“Dalam mana-mana perbincangan yang kita jalankan di antara pihak majikan, kerajaan dan MTUC, mereka akan berkata bahawa bila ada kenaikan, ini akan membebankan dan sejak 2013 sehingga 2020, alasan yang sama diguna pakai,’’ katanya dalam program Koresponden Bernama bertajuk ‘Cukupkah Gaji RM1,500?’ hari ini.

Kamarul Baharin berkata kali terakhir semakan dibuat adalah pada 1 Jan, 2020 dan semakan seterusnya sepatutnya diadakan pada 1 Jan, 2022.

MTUC telah mencadangkan kepada kerajaan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sejak 2013 selain memperkenalkan pemberian kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) bulanan sebanyak RM300.

Ia juga percaya kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 yang dijadual dilaksanakan pada tahun ini adalah tepat pada masanya dan memberikan sedikit kelegaan kepada pekerja dalam menghadapi cabaran Covid-19, sekali gus membantu merancakkan ekonomi negara.

Selain itu, MTUC turut mencadangkan penubuhan pusat informasi gaji negara dan akan membawa cadangan itu kepada Kementerian Sumber Manusia dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS