Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek ternak arnab: Ahli PKR lapor polis terhadap MP Hulu S'gor

Seorang ahli PKR hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow Hsiad Hui berhubung sumbangan projek penternakan arnab.

Aylwin Chan Wai Tuck, 36 mendakwa hantaran di Facebook pada 6 Feb menerusi akaun peribadi ahli parlimen itu sebagai palsu.

Pada hantaran itu, June didakwa menghulurkan sumbangan menerusi pusat khidmat rakyat parlimen Hulu Selangor untuk mengembangkan sektor penternakan arnab.

"Saya menafikan bahawa menerima apa-apa sumbangan daripadanya. Wang itu adalah bayaran kepada tujuh sangkar arnab dibuat oleh syarikat saya.

"Daripada tujuh sangkar satu dipasang di rumah Yb June sendiri. Sementara, enam lain dipasang di satu kawasan milik Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sungai Buaya.

"Saya tidak terlibat mana-mana projek penternakan arnab," katanya kepada Malaysiakini.

Aylwin yang juga AJK Pemuda cabang Hulu Selangor membuat laporan polis terhadap June di Balai Polis Serendah.

Semalam, wakil rakyat PKR itu membuat satu hantaran menyatakan dia memberi sumbangan kepada Aylwin sebanyak RM3,470 bagi tujuan projek penternakan arnab.

June dalam posting yang dimuatnaik bersama gambar Aylwin memegang cek itu menulis: 

"Terima sumbangan kewangan RM3470 dari Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Selangor untuk mengembangkan sektor penternakan arnab di Serendah. Mudah mudahan berjaya dan menjadi insan yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab."

Ketika dihubungi, June berkata dia enggan memberikan sebarang ulasan.

"Tiada komen," katanya ringkas menerusi mesej WhatsApp.


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS