Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh diteruskan susulan jangkitan varian Omicron Covid-19 terbukti hanya menyebabkan gejala ringan.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata syor bagi prosedur operasi standard (SOP) PRN itu telah dimuktamadkan dan telah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Pendirian KKM adalah, memandangkan Omicron, setakat ini tidak menunjukkan kesan teruk seperti (varian) Delta maka pilihan raya negeri boleh diteruskan,” katanya dalam sidang media perkembangan situasi Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Khairy berkata SOP PRN Johor akan diumumkan kelak.
Pada 22 Jan lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN untuk diadakan.
SPR dijangka bermesyuarat dan mengumumkan tarikh PRN Johor Rabu ini.
Sementara itu, Khairy berkata bagi mengawal penularan mendadak varian Omicron, majikan digalakkan meneruskan dasar bekerja dari rumah bagi pekerja mereka atau melaksanakan sistem penggiliran bekerja.
Khairy berkata majikan juga disaran membantu pekerja yang bergejala membuat ujian swab dengan menyediakan kit ujian dan pelitup muka berkualiti tinggi.
"Kita juga rayu majikan dapatkan insentif untuk mengubah suai sistem pengudaraan di tempat kerja yang disediakan oleh Kementerian Kewangan," katanya.
Selain itu, Kementerian Kesihatan juga menyarankan supaya orang ramai mengaktifkan “MySejahtera Trace” di aplikasi MySejahtera bagi tujuan pengesanan kontak rapat.
Beliau juga memberi peringatan kepada pemilik premis untuk meningkatkan kawalan kemasukan pelanggan dengan menyemak status risiko dan vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera pelanggan.
- Bernama