Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian Perpaduan akan hulur bantuan isu gereja terbakar

Kementerian Perpaduan Negara akan memberikan bantuan kepada gereja di Kota Kemuning, Shah Alam yang terbakar pada 2 Feb, kata timbalan menteri Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Fayhsal hari ini melawat tapak lot gereja Assembly of God yang terbakar untuk mengetahui lebih lanjut tentang kejadian berkenaan.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab ke atas tempat ibadat bukan Islam, kami mempunyai peruntukan dan perkara yang boleh kami bantu untuk mana-mana tempat ibadat yang pernah ditimpa musibah.

“Saya datang untuk melihat kerosakan tadi dan pastinya ia adalah total loss; semua perabot, peralatan pandang dengar dan premis itu sendiri musnah akibat kebakaran.

“Kami tidak mempunyai jumlah tertentu (untuk diberikan), ia bergantung kepada penilaian yang dibuat oleh kementerian dan perbincangan dengan pihak gereja, yang perlu menunggu laporan daripada pihak bomba untuk kami mengenal pasti kos kerosakan itu,” kata Wan Fayhsal kepada pemberita selepas melawat gereja hari ini.

Dia berkata siasatan awal ke atas kebakaran yang memusnahkan gereja itu tidak menunjukkan tanda-tanda khianat.

Jelasnya, ia petanda baik, kerana tidak mahu perkara ini dikaitkan dengan sebarang isu agama atau perkauman.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor telah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada lewat malam 2 Feb dan telah menghantar empat jentera dan 25 anggota ke tempat kejadian.

Kejadian membabitkan tingkat dua sebuah lot kedai dua tingkat, yang menempatkan Kota Kemuning Assemblies of God Church.

Kebakaran hanya menjejaskan tingkat atas bangunan. Tingkat bawah lot kedai adalah kedai makan yang kebanyakannya tidak terjejas.

Polis berkata siasatan awal mereka tidak menunjukkan tanda-tanda khianat, walaupun punca kebakaran masih belum dikenal pasti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS