Susulan aduan penerimaan bekalan air payau di beberapa kawasan di sekitar Kota Bharu, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjelaskan perkara itu berpunca daripada kandungan klorida.
Menurut AKSB, tindakan diambil dengan membuat penelitian di Loji Rawatan Air (LRA) di lapangan dan hasil penelitian menunjukkan gangguan kualiti air berlaku di kawasan agihan LRA Chicha, Kota Bharu
"Ia berpunca dari penerobosan air masin ke Sungai Pengkalan Datu dan kandungan klorida pada 3 Februari lalu adalah 2, 270 miligram per liter.
"Bagi meningkatkan sumber air mentah di LRA Chicha untuk menghadapi permintaan air yang tinggi semasa sambutan Tahun Baru Cina, AKSB telah menyalurkan air Sungai Pengkalan Datu ke Telaga Jejari Pasir Tumboh pada 30 Januari lalu,
"Kandungan chloride dalam air sungai pada masa ini adalah 142 miligram per liter," katanya syarikat induk bekalan air di Kelantan itu dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, ramai pengguna perkhidmatan AKSB mengeluh di media sosial susulan bekalan air yang disalurkan ke rumah mereka dikatakan tidak bersih dan terasa payau.
Sementara itu, AKSB memaklumkan pada 31 Januari lalu kadar pengeluaran air terawat dari LRA Chicha adalah 71.6 juta liter sehari (JLH).
Katanya, sebelum penyaluran air Sungai Pengkalan Datu ke Jelaga Jejari kadar pengeluaran air terawat LRA Chicha adalah 62 juta liter sehari.
"Selepas AKSB menerima aduan air payau atau masin pada 3 Februari, pengepaman air mentah dari Telaga Jejari telah dikurangkan secara berperingkat.
"Pada hari ini, pengepaman air mentah dari TJ telah dihentikan sepenuhnya susulan kandungan klorida dalam air terawat masih tinggi. Kualiti air terawat dari LRA Chicha akan beransur pulih," jelas AKSB.