Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Johor: Muda mahu pembangkang bersatu, rundingan berterusan

Persoalan sama ada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan bersama Pakatan Harapan (PH) atau bertanding secara solo pada pilihan raya negeri (PRN) Johor tidak lama lagi masih menjadi tanda tanya.

Walau bagaimanapun, presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika dihubungi berkata parti itu mahu pembangkang kekal bersatu.

"Kami mahu pembangkang bersatu untuk melawan keangkuhan BN dalam memaksa pilihan raya diadakan ketika gelombang wabak Omicron.

"Semua urusan rundingan saya akan buat secara tertutup dengan sahabat sahabat di pihak pembangkang,” katanya.

Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang meminta Muda menyerahkan senarai kerusi dan calon parti itu bagi PRN Johor.

Anwar semalam meminta Muda menyerahkan senarai berkenaan sebelum rundingan dibuat.

“Tak apa biar mereka (Muda) bawa senarai dulu kepada kita (PH), kemudian baru kita bincang,” katanya kepada pemberita di Shah Alam, semalam.

Tiga hari lalu, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse juga dipetik berkata pihaknya sudah mula berunding dengan Setiausaha Agung Muda, Nur Amira Aisyah Abd Aziz dan Pengerusi Muda negeri, Mohd Azrul Ab Rahani.

Syed Saddiq sebelum ini turut dilaporkan berkata rundingan PH dan pihaknya berjalan lancar.

Syed Saddiq adalah antara nama yang disebut-sebut bakal ditampilkan sebagai calon bersama setiausaha agung parti itu, Nur Amira Aisyah Abd Aziz.

PH sebelum ini mengumumkan akan bertanding di bsemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor, dengan PKR dan Amanah masing-masing diperuntukkan 20 kerusi dan DAP 16 kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan tarikh-tarikh proses pilihan raya.

PRN Johor perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada pembubaran dewan negeri pada 22 Januari.

Pada PRN Melaka, 20 November lalu, Muda bersama Pejuang dan Warisan tidak bertanding. PH yang diwakili oleh PKR, DAP dan Amanah kalah teruk dengan hanya DAP yang memenangi 4 kerusi, Amanah satu kerusi manakala PKR langsung gagal mendapat sebarang kerusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS