Paling Popular
Terkini

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin terhadap saman fitnah yang difailkan Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung kenyataan "main belakang" yang dibuatnya pada 2008.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Lee Swee Seng sebulat suara menolak rayuan bekas ketua pemuda Umno itu.

Dua lagi hakim yang menjadi panel adalah Darryl Goon Siew Chye dan Ghazali Cha.

Panel hakim juga sebulat suara memutuskan tiada kesilapan yang boleh dirayu yang memerlukan semakan oleh mahkamah lebih tinggi. Panel juga mengarahkan Khairy untuk membayar RM50,000 sebagai ganti rugi kos kepada Anwar.

Pada 29 September 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan yang Khairy telah memfitnah Anwar dengan kenyataan itu yang dibuat pada ceramah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, pada awal 2008, sejurus sebelum pilihan raya umum ke-12.

Mahkamah Tinggi mengarahkan Khairy untuk membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada Anwar.

Membacakan keputusan sebulat suara itu menerusi prosiding dalam talian, Goon berkata tiada kesilapan dalam keputusan hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan bahawa kenyataan Khairy bersifat fitnah terhadap Anwar.

Mahkamah Rayuan memutuskan hakim secara tepat mendapati kenyataan itu, dalam konteks analogi dan kiasan serta makna sebenar dan kesimpulan, boleh bersifat fitnah.

Ketika pendengaran pada 2 November lalu, peguam Khairy dalam penghujahan berkata kenyataan Khairy tidak merujuk kepada kes liwat yang dihadapi Anwar, tetapi berhubung kerjasama pembangkang (marriage of convience) menjelang PRU 2008.

Peguam Anwar pula pada 17 Januari membalas yang Mahkamah Tinggi telah secara tepat mengandaikan khalayak yang hadir dalam ceramah ketika kenyataan itu dibuat memahami konteksnya sebagai merujuk dakwaan terhadap Anwar, bukannya kerjasama pembangkang.

Ketika itu, gabungan Pakatan Rakyat dianggotai PKR, DAP dan PAS.

Hari ini, Goon berkata keputusan hakim perbicaraan agar Khairy membayar ganti rugi RM150,000 terhadap Anwar juga tidak berlebihan dan maka tidak memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Selepas keputusan disampaikan, peguam Khairy, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada panel hakim yang dia diarahkan untuk memfailkan penangguhan bagi membuat rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS