Jabatan Perhutanan Selangor berkata, 264 hektar tanah hutan yang dikenal pasti oleh Rimba Disclosure Project (RDP) dijual di dalam talian adalah tanah yang tidak diwartakan sebagai sebahagian daripada hutan simpan kekal.
"Berdasarkan semakan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, didapati lokasi yang dimaksudkan untuk penjualan tersebut adalah bukan berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diwartakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985,” kata Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor Ahmad Fadzil Abdul Majid.
RDP sebelum ini mengenal pasti sejumlah 43,539 hektar tanah hutan yang disenaraikan untuk dijual secara dalam talian.
Bagaimanapun, ia tidak menyatakan bahawa tanah hutan yang dikenal pasti di Selangor seluas 264 ekar adalah dalam hutan simpan kekal.
Tanah Selangor yang dimaksudkan itu melibatkan dua plot, satu membabitkan 192 hektar di Pulau Indah yang dikatakan hutan bakau berdasarkan imej satelit peta Google.
Satu lagi melibatkan 72 hektar tanah di Puncak Alam yang menurutnyaberdasarkan peta Google yang menunjukkan ia masih kawasan hutan.
Bagaimanapun, ia mengenal pasti tanah untuk dijual di luar Selangor yang didakwanya berada dalam kawasan hutan simpan kekal, khususnya di Kelantan.
Ahmad Fadzil menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila berurusan dengan iklan dalam talian yang mendakwa penjualan tanah hutan simpan kekal.
"Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ingin memaklumkan bahawa keluasan kawasan hutan simpanan kekal di Selangor telah berjaya ditingkatkan kepada 250,250.29 hektar pada tahun 2021.
"Kejayaan ini adalah hasil komitmen yang tinggi dan berterusan Kerajaan Negeri Selangor melalui beberapa inisiatif yang telah
dilaksanakan sejak tahun 2010.
" Di antaranya ialah menguatkuasakan Dasar Moratorium (Pembekuan) ke atas Pembalakan dalam HSK selama 25 tahun dan
meminda Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 pada tahun 2011 untuk mengenakan syarat penyiasatan awam ke atas mana-mana penyahwartaan HSK," katanya.
Ahmad Fadzil menambah, sebarang penyahwartaan hutan simpan kekal juga mesti digantikan dengan kawasan baru yang sama besar.