Kebenaran kepada 32 syarikat tempatan untuk mengimport ayam sejuk beku hanya bersifat sementara dan akan ditarik semula selepas bekalan kembali pulih, menurut Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
Pengerusinya Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, kebenaran itu diberikan bagi menstabilkan harga ayam berikutan kekurangan bekalan akibat faktor cuaca tidak menentu.
Mohd Fasiah berkata, peniaga dan pengguna tidak perlu bimbang dengan bekalan di pasaran ketika ini kerana kerajaan sudah mengambil langkah segera bagi mengatasi isu kekurangan bekalan ayam dan telur, seperti dilaporkan media sejak minggu lalu.
"Kerajaan memberi jaminan untuk mengambil tindakan sewajarnya dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Ronald Kiandee juga sudah mengeluarkan arahan (kebenaran) mengimport bekalan ayam dan telur untuk tempoh tertentu.
"Apabila pengeluaran ayam dan telur di peringkat tempatan kembali pulih, pasti kita hentikan pengambilan (pengimportan) bekalan (dari luar negara) ini," katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuantan, Pahang hari ini.
Pada 24 Januari lalu, Ronald dilaporkan berkata, kerajaan memberi kelulusan kepada 32 syarikat bagi mengimport ayam bulat sejuk beku dari tiga negara bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam mentah.
Dia menjelaskan import ayam dari Thailand, China dan Brazil itu bagaimanapun akan dihentikan sebaik sahaja bekalan ayam di negara ini pulih.
Pada Disember tahun lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan mengimport ayam sejuk beku bagi menampung permintaan dan membolehkan rakyat mendapat bekalan pada harga lebih rendah berbanding ayam segar tempatan.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanandalam kemudian memaklumkan kebenaran mengimport ayam sejuk beku adalah untuk tempoh tiga bulan, bermula Disember 2021 hingga bulan ini.
Sementara itu, Mohd Fasiah turut mengakui faktor cuaca antara punca kekurangan bekalan di pasaran ketika ini.
“Cuaca tidak menentu dengan hujan sepanjang Monsun Timur Laut dan bencana banjir menyebabkan pengusaha tempatan berdepan masalah membekalkan ayam dan telur untuk pasaran dalam negara.
"Jadi, apabila ada bekalan ayam (import) dan kerajaan tetapkan (harga ayam) RM8.90 sekilogram, ia (harga) berpatutan dan tidak membebankan rakyat, pengusaha pun masih dapat untung," katanya lagi.