Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin memberi peringatan bahawa penduduk Sabah mahukan projek-projek yang dirancang agar disiapkan, bukan setakat diumumkan sahaja.
Bersuara di kala dua bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan Najib Razak bertegang urat berhubung tampuk kepemimpinan Sabah, Bung berkata kepercayaan yang diberikan rakyat kepada kerajaan negeri harus dihargai dengan cara wakil rakyat bekerja bersungguh-sungguh membangunkan negeri.
"Rakyat meletakkan kepercayaan serta aspirasi yang tinggi kepada kerajaan yang ada hari ini,” katanya dalam kenyataan semalam, seperti dipetik Bernama.
“Justeru kita perlu menghargai kepercayaan tersebut dengan kesungguhan bekerja memajukan Sabah serta melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat," kata pengerusi Umno Sabah itu lagi.
Kata Bung, pendekatan baru diperlukan bagi memenuhi aspirasi rakyat, dengan cara meninggalkan amalan lama seperti hanya mengumumkan projek dan peruntukan namun kurang komitmen untuk melaksanakannya.
"Rakyat ketika ini begitu matang berfikir dan menilai tindakan kerajaan dan wakil rakyat.
“Mereka tidak lagi terbuai dengan pengumuman berapa banyak peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan, apa yang mereka harapkan ialah umum dan segerakan pelaksanaannya," katanya lagi.
Bung yang juga ahli parlimen Kinabatangan dan Adun Lamag itu menambah, Sabah masih jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan infrastruktur, kesihatan serta pendidikan dan isu tersebut perlu diberi perhatian oleh kerajaan pusat.
Perang mulut antara Muhyiddin dan Najib bermula apabila Najib menuduh Bersatu menyebabkan kegagalan gagasan Muafakat Nasional (MN).
Dakwa Najib, Bersatu mengkhianati Umno dalam PRN Sabah dan mengkritik Muhyiddin yang merupakan perdana menteri ketika itu kerana menamakan Hajiji Noor (gambar) sebagai calon ketua menteri bagi Perikatan Nasional (PN).
Dalam PRN itu, Umno menang 14 kerusi manakala Bersatu memenangi 11 kerusi.
Pun begitu, Muhyiddin menjawab dia mengemukakan nama Hajiji hanya sebagai cadangan, dan menuduh Najib tidak dapat memahami "bahasanya" pada ketika itu.
"Najib mungkin tak faham bahasa saya. Bila saya kata Umno tidak mencalonkan sesiapa sebagai calon ketua menteri Sabah sehingga habis kempen itu fakta.
"Semasa saya hadir mengumumkan Hajiji sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Sulaman, saya beri bayangan 'manalah tahu kalau rakan-rakan dalam PN, BN dan yang lain pun bersetuju, Hajiji adalah yang terbaik kita nak tawarkan sebagai calon memimpin negeri Sabah',” kata Muhyiddin.