Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Ini hujung minggu yang sangat kelabu. Kebanyakan kita memulakan hari ini dengan kesedihan. Kisah Rayan yang tidak sempat diselamatkan rupa-rupanya yang menyambut pagi.

Sudah tentu ia bukanlah detik yang kita mahukan untuk hari yang masih panjang di depan. Tetapi apa yang kita mahu tidak semestinya apa yang Tuhan mahu, kan?

Ada beberapa perkara yang menarik perhatian daripada insiden budak berusia lima tahun itu.

Hampir semua orang sekarang mengenal Rayan, tapi tidak ramai yang tahu nama penuh dia pun. Malah nama dan maklumat lain mengenai ibu dan bapanya juga sangat terhad.

Mungkin kerana semua orang tidak sempat mencari maklumat tersebut kerana itu kurang penting apabila keutamaan ialah menyelamatkan dia. Atau - yang lebih dibimbangi - ia tidak dianggap perlu kerana Rayan hanyalah anak orang yang biasa-biasa saja di Chefchaouen.

Berdasarkan laporan BBC, Chefchaouen bukanlah nama kampung Rayan dan keluarganya itu. Chefchaouen hanya merupakan bandar utama yang paling hampir dengan tempat Rayan. Lokasi petempatan Rayan dan keluarganya ialah di Tamorot.

Di manakah tamorot? Kira-kira 100km dari Chefchaouen!

Kebetulan Maghribi bukanlah negara yang selalu dekat di hati kita. Apa saja nama tempat yang mudah kita ingat selain Rabat dan Casablanca. Itu pun biasanya kerana wujudnya filem klasik 1942, Casablanca, arahan Michael Curtiz.

Demikian dekatnya kita dengan sesuatu yang bernama hiburan.

Nyawa tidak terbandingkan

Untuk menyelamatkan Rayan, petugas penyelamat Maghribi nampaknya melakukan apa saja yang terdaya di sebalik kekangan ancaman bahaya lain, termasuk tanah runtuh. Jika dilihat kepada rajah yang mengiringi laporan tersebut, kesan dan gerakan tersebut memang begitu besar.

Dengan jumlah anggota yang terlibat, mesin yang digunakan, lubang yang digali dan seumpamanya, ia seolah-olah ia tidak sepadan dengan "seorang budak".

Tapi itulah kemanusiaan. Demi satu nyawa, usaha menyelamat mesti dibuat walau apa pun harganya. Kerana nyawa itu - meminjam kata-kata Buya Hamka - "tidak ada nilainya".

Bukanlah nyawa itu tidak ada bernilai sama sekali, sebaliknya bermaksud: tidak ada suatu apa pun dapat disetarakan dengan nilai suatu nyawa. Ia terlalu mahal dan bermakna. Ia tidak terbandingkan.

Barangkali itulah juga yang membuat sesebuah negara rela menghantar bala tentera jika ada seorang rakyatnya sedang terancam atau berdepan risiko. Namun sudah tentu ia hanya mampu dilakukan sebuah kerajaan yang kuat, berdaulat dan bermaruah.

Daulah yang tidak bermaruah hanya akan berdiam diri, atau melawan di dalam hati.

Sedalam mana pula Rayan terperuk bersendirian sejak Selasa lalu? Dia berada dalam ruang yang serba sempit 32 meter dari permukaan tanah. Kalau ditukarkan kedalaman itu kepada ukuran kaki, ia sejauh 105 kaki.

Hampir-hampir tidak ada apa yang mampu dilakukannya dalam ruang yang sempit dan dalam sebegitu.

Nah, itu adalah nasib Rayan. Dan terperuk dalam lubang yang gelap dan dalam sebegitu juga boleh berlaku secara simbolik untuk sebuah negara yang malang. Sebuah negara gagal adalah Rayan yang satu lagi.

Pentadbirannya penuh kebobrokan, jenteranya sibuk digunakan untuk kepentingan diri atau kelompok sendiri, ekonominya berantakan dan rakyatnya sedang terkepung dengan pelbagai bala, kesusahan dan keserabutan dalam lubang telaga buta yang amat dalam lagi gelita.

Entah-entah kita ini sedang berada di situ.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan yang pernah menggunakan telaga untuk mandi setiap pagi.

Tulisan ini tidak semetinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS