Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rayan meninggal dunia
Diterbitkan:  Feb 6, 2022 8:58 AM
Dikemaskini: 1:23 AM

GLOBAL | Rayan Awram, kanak-kanak lima tahun yang terperangkap di dalam perigi sempit selama lima hari akhirnya meninggal dunia sebelum penyelamat sempat sampai kepadanya, menurut Reuters hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh dua pegawai kerajaan kepada agensi berita itu.

Menurut Reuters, rakaman yang dimuat naik di media sosial menunjukkan suasana selepas mayatnya diangkat, dengan ratusan penyelamat dan penduduk memenuhi kawasan sekitar.

Rayan jatuh ke dalam perigi sedalam 32 meter itu di kampungnya di Ighran, yang terletak di kawasan perbukitan dekat Chefchaouen, utara Maghribi, pada Selasa lalu.

Penyelamat akhirnya sampai ke lokasinya semalam setelah menggali tanah di sebelah perigi berkenaan - memandangkan ia terlalu sempit untuk dimasuki penyelamat - sehingga selari dengan kedalaman tempat Rayan terperangkap.

Penyelamat kemudian mengorek satu terowong secara melintang untuk menyelamatkan Rayan.

Raja Maghribi, Raja Muhammad VI mengucapkan takziah kepada keluarganya.

Seorang saudara lelakinya pada Jumaat lalu berkata, keluarga mula sedar kehilangan kanak-kanak itu setelah dia mendengar jeritan, sebelum mencarinya menggunakan lampu suluh di telefon.

"Dia menjerit 'angkat saya'," katanya seperti dipetik.

"Saya begitu sedih lepas dapat tahu Rayan sudah meninggal dunia. Takziah buat keluarga," kata penduduk Rabat, Abderrahim Sabihi, yang mengikuti usaha menyelamat kanak-kanak itu.

Misi berbahaya di daerah Chefchaouen itu berdepan risiko tanah runtuh, selain berdepan cabaran campuran tanah berbatu dan berpasir untuk membina terowong di tempat yang diyakini beradanya Rayan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS