Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maszlee sasar jadikan Simpang Renggam 'simpanan tetap' undi PKR

PRN JOHOR | Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik berhasrat menjadikan kawasan parlimen itu sebagai kubu kuat 'simpanan tetap' pengundi PKR dan Pakatan Harapan (PH) dengan sasaran menawan dua kerusi DUN di bawahnya.

Maszlee, dispekulasikan bakal bertanding di kerusi DUN Layang-Layang manakala kerusi jiran Machap dikhabarkan akan ditandingi oleh parti Muda.

"Kita akan menjadikan Simpang Renggam daerah PKR, kita jadikan parlimen Simpang Renggam simpanan tetap PKR.

"Kita akan jadikan DUN Layang-Layang milik PKR, kita akan jadikan DUN Machap DUN PH," katanya di hadapan lebih 50 penyokong di Simpang Renggam, hari ini.

Sebelum 2018, Simpang Renggam merupakan kerusi milik parti Gerakan. 

Bagaimanapun, Maszlee bertanding di bawah tiket Bersatu - merampas kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 dengan memenangi 50.6 peratus undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Bagaimanapun, BN mengekalkan DUN Layang-Layang dan Machap walaupun dengan majoriti tipis dan hanya meraih 47 peratus undi di setiap kerusi.

Simpang Renggam ialah kawasan pilihan raya bercampur. Menurut data 2018, pecahan kaum ialah 60 peratus Melayu, 31 peratus Cina dan 9 peratus India.

Pilihan raya Johor dijangka menjadi pertempuran tiga atau empat penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN), PH dan mungkin Pejuang.

Maszlee berkata PH telah banyak berjasa untuk Simpang Renggam, menyelesaikan masalah yang telah melanda kawasan itu selama bertahun-tahun.

Tutup tapak lupus sampah

Dia memetik contoh gangguan air yang kerap dihadapi penduduk terutamanya pada musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

"Adakah (kita hadapi) masalah air lagi," soal Maszlee, dengan penyokongnya menjawab bahawa ia tidak lagi menjadi masalah.

Dia juga berkata penduduk pada masa lalu sering mengalami pencemaran bau dari tapak pelupusan sampah CEP Estate Sanitary - yang dijanjikan PH untuk ditutup.

"Adakah kami menutup (tapak pelupusan sampah)," tanya Maszlee dan penyokong menjawab "ya" dengan tegas.

Tapak pelupusan itu berhenti beroperasi pada Mac 2019. Dilaporkan gangguan air di kawasan itu berpunca daripada pencemaran yang disebabkan oleh tapak pelupusan sampah berkenaan.

Maszlee berkata sepanjang era pentadbiran PH, rangkaian makanan segera McDonald's juga telah membuka cawangan di kawasan itu dan berfungsi sebagai tempat pertemuan penting untuk anak muda, usahawan dan keluarga.

Tambahnya, dia juga pernah berjanji untuk membawa universiti ke Simpang Renggam.

Bagaimanapun, dia berkata rancangannya untuk membuka cawangan UiTM di sini gagal apabila kerajaan PH tumbang pada 2020.

"Tapi kita tetap tepati janji kita. Kita janji bawa Open Universiti (Universiti Terbuka) hari ini merupakan universiti pertama cawangan di Malaysia ada di Simpang Renggam," katanya.

Maszlee juga disebut sebagai bakal calon menteri besar PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, meskipun dia memperkecilkan ura-ura itu.


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS