mk-logo
Berita
MB: Projek balak, lombong di Hutan Kenderong tak lulus jika beri kesan buruk
Diterbitkan:  Feb 5, 2022 5:30 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Kerajaan Negeri Perak tidak akan memberi kelulusan kepada projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di kawasan Hutan Simpan Kenderong Mukim Kerunai, Gerik sekiranya mendatangkan kesan buruk.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya akan membuat semakan dan mendapatkan laporan penuh daripada Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) terlebih dahulu.

"Kita menghormati keprihatinan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan kerajaan negeri akan mengambil maklum semua itu, sekiranya ia adalah kawasan sensitif alam sekitar, sudah tentu aktiviti sedemikian tidak boleh dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Bersama Sahabat AIM di Laman Seri Ridzuan di Ipoh hari ini.

Semalam, SAM dilapor membantah cadangan projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di kawasan seluas 245 hektar yang dinyahwartakan di hutan simpan itu.

Presidennya R. Meenakshi menyifatkan pembersihan hutan yang disebut dalam Laporan Penilaian Kesan Awal Kepada Alam Sekeliling (EIA) sebagai berpotensi mencemarkan sumber air tempatan dan tapak yang dicadangkan adalah Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap Satu iaitu sebarang pemajuan, pertanian atau pembalakan tidak dibenarkan kecuali aktiviti ekopelancongan, penyelidikan dan pendidikan.

Saarani berkata keputusan akhir berkaitan projek itu hanya dibuat selepas laporan EIA dikeluarkan dan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS