mk-logo
Berita
Nekmat bina kilang ais blok bernilai RM9 juta di Tok Bali
Diterbitkan:  Feb 4, 2022 4:19 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Sebuah kilang ais blok untuk sektor perikanan milik Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) bernilai RM9 juta sedang dalam pembinaan di Tok Bali, di Pasir Puteh, dan dijangka siap September depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim berkata kilang ais blok itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400 bot nelayan laut dalam dan nelayan pantai bagi mendapatkan bekalan ais mencukupi sebelum turun ke laut.

“Projek tersebut sudah mencapai 90 peratus dan apabila siap nanti ia mampu mengeluarkan 200 tan metrik ais blok sehari, sekali gus masalah kekurangan bekalan ais sehingga memaksa nelayan sekitar Tok Bali mendapatkannya dari Tumpat, tidak akan berlaku lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Cherang Ruku di Pasir Puteh, hari ini.

Beliau berkata bekalan daripada kilang ais blok terbesar di Kelantan itu juga, boleh dijual kepada nelayan sekitar seperti di Kota Bharu dan Bachok.

“Selain itu, kilang itu juga mampu menarik minat bot nelayan laut dalam tempatan mendaratkan hasil tangkapan mereka di Tok Bali kerana sebelum ini ada dalam kalangan mereka mendaratkan hasil tangkapan di negara jiran atas alasan mudah mendapatkan bekalan ais blok apabila turun semula ke laut,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS