Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda DAP WP: Warga KL wajar diberi hak pilih k'jaan sendiri
Diterbitkan:  Feb 4, 2022 3:31 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Setelah 48 tahun Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan, sudah tiba masanya warga ibu kota terbabit diberikan hak memilih perwakilan mereka sendiri.

Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Wilayah Persekutuan, Raja Ahmad Iskandar Fareez, berkata langkah itu membuka peluang kepada warga Kuala Lumpur mentadbir ‘kerajaan wilayah’ yang mirip kepada pentadbiran kerajaan di negeri-negeri lain.

"Bagi warga kota, terutamanya anak-anak muda yang berdepan dengan realiti hidup di bandar raya yang semakin mencabar disebabkan isu perumahan, gaji rendah, dan kos sara hidup tinggi, mereka sepatutnya diberikan kuasa memilih kerajaan sendiri dan menentukan hala tuju pentadbiran Kuala Lumpur.

"Isu-isu setempat seperti pemulihan ekonomi pascawabak Covid-19 dan perancangan bandar juga dapat dikendali secara terperinci dengan adanya penglibatan wakil-wakil rakyat yang bertanggungjawab kepada pengundi.

"Sebaliknya, ibu negara Malaysia ini masih lagi ditadbir seorang Menteri Wilayah Persekutuan yang tidak pun dipilih oleh pengundi setempat," katannya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad Iskandar berkata jika hendak dibandingkan dengan negeri-negeri lain, Kuala Lumpur sewajarnya ditadbir oleh satu ‘kerajaan wilayah’ yang diterajui wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh warga ibu kota itu sendiri.

Dari segi sumber kewangan, katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mendapat peruntukan yang paling tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Misalnya kata Raja Ahmad Iskandar, bagi 2022, DBKL diperuntukan sebanyak RM2.70 bilion, berbanding negeri-negeri seperti Selangor (RM2.34 bilion), Johor (RM1.95 bilion) dan Perlis (RM306.83 juta).

"Dari segi populasi pula, bilangan penduduk Kuala Lumpur yang seramai 1.74 juta orang pada 2021 jauh mengatasi negeri seperti Perlis (255,000), Melaka (938,000), Negeri Sembilan (1.13 juta) dan Terengganu (1.27 juta)," katanya.

Tambahnya pemerkasaan demokrasi di ibu negara Malaysia bakal membuka ruang penyertaan rakyat dalam pentadbiran Kuala Lumpur dan memperkasa keupayaan komuniti bagi mendepani sebarang cabaran yang bakal ditempuhi.

Oleh itu, katanya, usaha untuk memperkenalkan pilihan raya di peringkat wilayah dan kerajaan tempatan Kuala Lumpur perlu dimulakan.

"Sesi libat urus dengan pemegang taruh yang berkaitan juga perlu dijalankan bagi mengenal pasti langkah pelaksanaan yang terbaik," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS