mk-logo
Berita
Lokman Adam: Saya belum terima dokumen saman KJ
Diterbitkan:  Feb 4, 2022 10:32 AM
Dikemaskini: 2:37 AM

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Lokman Noor Adam berkata dia masih belum menerima sebarang dokumen berkaitan saman daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung isu program vaksinasi Covid-19 kerajaan.

Menurut Lokman, dia juga tidak menerima apa-apa dokumen atau tuntutan yang memintanya untuk memadam dakwaan yang dilakukannya sebelum ini.

“Saya masih menunggu lagi saman daripada Khairy Jamaluddin ini. Baik surat tuntutan, saya belum terima.

“Begitu juga dengan saman yang kononnya telah difailkan pada 25 Januari. Hari ini dah Febuari, pun saya masih belum terima,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook, malam tadi.

Semalam, Khairy dilaporkan memfailkan saman fitnah terhadap anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dan penceramah Mohd Rasyiq Mohd atau lebih dikenali sebagai Abu Syafiq.

Abu Syafiq

Saman itu dibuat susulan tulisan di atas talian antara 20 Oktober tahun lepas hingga 10 Januari tanun ini berkaitan program vaksinasi Covid-19 kerajaan.

Saman-saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Januari.

Ia merujuk kepada video, gambar dan tulisan di media sosial - Facebook, Youtube dan Instragram.

Saman itu difailkan melalui tetuan Rashid Zulkifli selepas defendan enggan mematuhi tuntutan Khairy antaranya supaya dakwaan-dakwaan mereka dipadam pada 16 Januari lalu.

Dalam video yang dimuat naik di media sosialnya, Lokman berkata apa yang dibangkitkannya sebelum ini hanyalah persoalan yang perlu dijawab oleh Khairy, tidak lebih daripada itu.

Katanya, sebagai aktivis masyarakat sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membangkitkan isu yang menjadi perhatian rakyat dan meminta menteri terlibat untuk menjawabnya.

“Jadi, dia jawablah sama ada benar atau tidak," tegasnya.

Mohd Rasyiq semalam berkata dia akan mengemukakan saman balas sebanyak RM500 juta terhadap Khairy.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS